HomeSukanBola Jaring bukan sekadar kemenangan, tetapi semangat kesukanan - Juliah

Bola Jaring bukan sekadar kemenangan, tetapi semangat kesukanan – Juliah

Read Time:1 Minute, 29 Second

Tuaran: Persatuan Bola Jaring Sabah (SABANA) digesa untuk terus bergiat aktif dan cemerlang dalam memainkan peranan bagi memajukan sukan bola jaring di negeri ini.

Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Juliah Salag berkata, penganjuran Kejohanan Bola Jaring Piala Presiden ke-13 oleh SABANA yang julung kali diadakan di daerah ini, menjadi platform penting bagi menyerlahkan bakat para wanita serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

“Penganjuran kejohanan berprestij ini bukan sahaja mengangkat martabat bola jaring di Sabah, malah memberi peluang kepada lebih ramai pemain mempamerkan bakat mereka di samping beriadah secara sihat bersama rakan-rakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan itu di Dewan Seri Sulaman, di sini baru-baru ini.

Juliah berkata, kejohanan yang disertai 20 pasukan itu wajar dijadikan penanda aras kepada persatuan dan kelab daerah untuk menganjurkan pertandingan lebih teratur pada masa depan, sekali gus membuka ruang mencungkil bakat baharu.

Beliau turut menekankan bahawa kejohanan seperti itu seharusnya diadakan secara berkala bagi melahirkan pemain pelapis yang berpotensi mewakili Sabah di peringkat kebangsaan dan seterusnya antarabangsa.

“Selain pencarian bakat, kita perlu membudayakan bola jaring dari akar umbi dengan sokongan dari persatuan, jurulatih, ibu bapa dan guru. 

“Saya juga berharap lebih banyak persatuan bola jaring daerah diwujudkan bagi menyokong pembangunan sukan ini,” katanya.

Juliah turut menekankan bahawa kemenangan bukanlah matlamat utama, sebaliknya semangat kesukanan dan persahabatan yang terjalin adalah nilai sebenar dalam kejohanan itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Jaring Sabah, Chendramata Sinteh menjelaskan kejohanan edisi ke-13 itu bukan sekadar mencari juara, sebaliknya menjadi platform memupuk semangat kesukanan, keyakinan diri dan persahabatan.

“Sukan bola jaring mengajar kerjasama berpasukan, disiplin dan semangat juang tinggi. Kejayaan hanya dapat dicapai melalui kebersamaan,” katanya.

Beliau turut berharap kejohanan itu dapat melahirkan generasi sihat dan berdaya saing, selain menjadi pemangkin kepada kecemerlangan bola jaring di negeri ini.-

RELATED ARTICLES
Sukan

Tujuh pasukan sertai kejohanan Pesta Sukan Muhibbah JKM Ke-14

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular