Papar: Sebanyak 30 beg darah berjaya dikutip menerusi program derma darah yang dianjurkan bersama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) cabang Papar dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar di sini baru-baru ini.
Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia cabang Papar, Rujinah Ajok berkata, program yang julung kali berlangsung di BBP Papar itu diadakan sempena dengan semangat Bulan Kebangsaan.

Katanya, ia sekaligus menggalakkan masyarakat sekeliling untuk turut sama menyumbang kepada negara melalui pendermaan darah.
“Saya melihat ini adalah kaedah terbaik mendidik minda rakyat agar menerapkan khidmat kesukarelawan dan aktiviti secara kelompok yang menghasilkan dampak positif kepada pesakit-pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital” katanya.
PBSM Papar yang terlibat aktif dengan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan malah turut membantu ketika bencana, telah melaksanakan tiga program derma darah sejak Januari lalu malah akan datang program serupa akan diadakan pada bulan September di Kawasan DUN Limbahau, Papar.

Rujinah berkata, penderma darah kali ini bukan sahaja dari kalangan anggota BBP Papar, malah turut melibatkan orang awam sekitar daerah Papar.
“Malah untuk sokongan dan kelancaran program, PBSM turut melibatkan penyertaan petugas dari kalangan penghidap Thalasemia untuk bertugas di kaunter pendaftaran penderma darah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada petugas, penaja, para penderma darah dan Hospital Beaufort yang telah membantu menjayakan program kali ini,” katanya.
Pada program tersebut Ketua BBP Papar, Rozlan Osman turut sama menderma darah bersama petugas-petugas beliau dan berharap program serupa akan diadakan di masa akan datang. – Chronivo