Kota Kinabalu: Pameran Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITM) berperanan peranan penting menjadikan industri pelancongan di Sabah terkenal sebagai destinasi percutian di peringkat antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew berkata, MITM penting memandangkan ia berperanan sebagai platform untuk perkongsian idea dan usahasama.
“Tahun demi tahun, MITM telah menjadikan Sabah terkenal di peringkat antarabangsa sekali gus menarik pelancong domestik dan luar negara datang ke negeri ini.
“Saya percaya dengan inovasi berterusan, kerjasama erat dan dedikasi daripada semua pihak yang terlibat, industri pelancongan Sabah akan terus diperkasakan serta berkembang pesat,” katanya.
Beliau berkata demimian semasa merasmikan MITM 2025, di sini baru-baru ini.
Katanya, berikutan perkembangan pesat itu, Sabah akan menyaksikan peningkatan jumlah pelancong sekali gus meningkatkan pendapatan.
Menurutnya, perkara yang lebih penting adalah perkembangan itu akan memberikan manfaat kepada rakyat Sabah serta mampu memelihara keindahan semula jadi negeri ini.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk menyampaikan mesej ini kepada komuniti dunia, bahawa Sabah bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi menyediakan satu pengalaman yang sukar dilupakan,” katanya.
Christina turut menghargai usaha para peserta yang terlibat dalam MITM 2025 dan berharap kerjasama erat itu dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang. – Chronivo