Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun serta 10 sebatan selepas mengaku bersalah memiliki syabu dan ganja.
Rozan Roslan Junior, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Bagi pertuduhan pertama, Rozan dihukum penjara tujuh tahun dan 10 sebatan kerana memiliki 36.25 gram syabu pada jam 3.30 petang, 29 April 2024 di sebuah rumah di Inanam Laut, Kalansanan, di sini.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga seumur hidup serta sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Rozan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana memiliki 0.43 gram ganja di lokasi dan masa yang sama.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 6 ADB yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapannya, menjadikan hukuman penjara hanya tujuh tahun 10 bulan.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fradiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan kesalahan itu serius dan berleluasa.