Kota Kinabalu : Sebanyak lebih 59 tan sampah domestik berjaya dikutip pada program ‘KK Cleanup Day 2.0’ yang diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025.
Program yang disempurnakan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah di Dataran Bandaraya di sini pada Sabtu turut berjaya mengitar semula 148,428 botol plastik dalam tempoh beberapa jam aktiviti itu dilaksanakan.

Hampir 2,000 peserta terdiri daripada pelbagai jabatan kerajaan, agensi, NGO, komuniti setempat serta pelajar turut sama menjayakan aktiviti tersebut.
Usaha tersebut bukan sahaja melibatkan kawasan bandaraya, malah merangkumi pembersihan kawasan pulau seperti Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar, yang melibatkan tujuh kampung.
Antaranya Kampung Lok Urai, Kampung Kasuapan, Kampung Pondo dan Kampung Torong Logong.
Sebanyak 53 unit jentera termasuk lori open truck, lori tangki air, skylift, bot penumpang, bot bomba serta skimmer boat telah digunakan pada program berkenaan

Antara aktiviti lain sepanjang program ini termasuklah pembersihan parit, lantai, bangunan, pengecatan rumah sampah dan kawasan medan selera, pemangkasan pokok, kawalan tikus serta pengutipan sampah terapung di perairan laut.
Program ini turut menyaksikan kerjasama erat antara pelbagai jabatan, agensi, dan komuniti kampung dalam memastikan kebersihan persekitaran terpelihara.
Terdahulu, Dr Sabin ketika berucap berkata, pencapaian program itu membuktikan bahawa semangat gotong-royong dan kesedaran sivik masyarakat Kota Kinabalu semakin tinggi dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja membersihkan kawasan sekitar, malah menyemai rasa cinta kepada bandaraya dan negara, selari dengan semangat Sambutan Bulan Kebangsaan 2025,” katanya.
Program KK Cleanup Day 2.0 ini turut menyaksikan pelancaran Cabaran ‘Kampungku Bersih’ Edisi Kepulauan, yang bakal menjadi platform pertandingan komuniti untuk memastikan kebersihan kampung sentiasa diutamakan. – Chronivo / FOTO DBKK