TONGOD: Empat parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kuamut kini berada pada tahap persiapan terakhir bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Usno telah melengkapkan jentera masing-masing bagi menyahut cabaran parti lawan, sekali gus mempertahankan dominasi GRS di kawasan itu.
Pengerusi GRS Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, kesiapsiagaan itu turut diperkuat dengan pelbagai siri taklimat termasuk sesi bersama agen pusat mengundi dan agen pengiraan undi yang diadakan di Dewan Simpang Entilibon, kelmarin.
Turut hadir, Pengarah Sekretariat Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Abdul Kassim Razali yang mengetuai delegasi pegawai latihan serta penceramah dari Kota Kinabalu.
“GRS Kuamut tidak hanya bergantung kepada laporan Sekretariat War Room, sebaliknya kerja turun padang telah dilaksanakan sejak lebih setahun lalu.
“Misi kita adalah mempertahankan kerusi GRS dan memperoleh majoriti lebih besar di Kuamut menjelang PRN-17. Malah, gerak kerja parti sudahpun dimulakan sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Masiung yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat memaklumkan, jawatankuasa bersama telah ditubuhkan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memastikan persiapan kempen berjalan teratur.
Taklimat itu turut disertai Ketua Bahagian GRS Kuamut iaitu Mandik Yadam (STAR), James Aik (Usno) dan Dusin Janis (PBS).
Seramai 300 ahli jawatankuasa jentera utama GRS hadir pada sesi berkenaan dan berikrar memberi sokongan penuh kepada calon gabungan itu untuk mempertahankan kerusi Kuamut.