Kota Kinabalu : Festival kebudayaan ikonik ‘Sabah Fest’ kembali dengan edisi lebih besar apabila bakal berlangsung selama sebulan bermula 30 Ogos ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata, festival yang berlangsung sehingga 28 September itu adalah bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan yang turut merangkumi Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia.
Katanya, pendekatan baharu ini memberi ruang lebih luas untuk menonjolkan kepelbagaian seni dan warisan budaya Sabah dalam suasana penuh perpaduan.
“Tema tahun ini, ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian: Budaya Menyatukan Kita’ yang menggambarkan ikatan kukuh rakyat Sabah meskipun berbeza latar belakang.

“Festival ini bukan sekadar hiburan, tetapi usaha melestarikan warisan, memperkasakan komuniti serta menarik pelancong untuk merasai keunikan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Sabtu.
Christina berkata, antara acara utama sepanjang festival termasuklah pelancaran Sabah Fest; Unity in Diversity: Culture Unites Us Fun Run & Walk; Mini Karnival Sabah Fest san Sabah Fest Extravaganza.
Katanya, Sabah Fest 2025 dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah melalui anak syarikatnya, Sri Pelancongan Sabah, dengan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk Lembaga Kebudayaan Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Kupi Kupi FM, Imago Mall, Suria Sabah Mall, Oceanus Mall dan Malaysia Airports Berhad (KKIA).
“Kerjasama erat ini amat penting untuk menjadikan Sabah Fest 2025 sebagai satu perayaan budaya yang lebih berkesan dan dikenang ramai. Malah, kita bercadang untuk meluaskan penganjuran ke daerah lain pada masa depan,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat Sabah serta para pelancong untuk bersama-sama memeriahkan acara berkenaan.
“Mari kita raikan Sabah Fest 2025 sebagai lambang kebanggaan, perpaduan, dan identiti kita sebagai rakyat Sabah,” katanya. – Chronivo