HomeUtamaKPDN sedia maklum permohonan semakan kadar APM stesen minyak

KPDN sedia maklum permohonan semakan kadar APM stesen minyak

Read Time:1 Minute, 3 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedia maklum berhubung permohonan serta rayuan daripada syarikat dan pengusaha stesen minyak untuk semakan kadar Mekanisme Harga Automatik (APM).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN kini sedang mengadakan sesi libat urus bersama persatuan berkaitan sebelum memanjangkan syor dan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dalam masa terdekat.

“KPDN berperanan dalam kawal selia perlesenan sektor peruncitan perkhidmatan bekalan bahan api iaitu Petroleum Development Act 1 (PDA1) dan Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) bagi stesen minyak serta syarikat minyak.

“Kita juga bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi selain menjamin produk petroleum bersubsidi dapat dinikmati golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Jalur Gemilang Kluster Industri dan Kempen Love Local 2025 sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di Stesen Minyak PETRONAS Papar, hari ini.

Armizan turut menjelaskan bahawa dasar serta penentuan harga runcit produk petroleum dan kadar APM adalah di bawah tanggungjawab MOF.

“Sebaik sahaja kerajaan memutuskan dasar dan mekanisme penyasaran subsidi RON95 kelak, kita yakin MOF sebagai agensi pusat akan mempertimbangkan kelulusan kadar baharu semakan APM.

“Perkara ini penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan stesen minyak dan syarikat minyak, sekali gus menjamin kestabilan bekalan petroleum kepada rakyat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua ‘Datuk’ antara lima individu ditahan Ops Karen seleweng diesel RM247...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular