HomeUtamaKPDN, PETRONAS lancar kempen jalur gemilang dan love local 2025

KPDN, PETRONAS lancar kempen jalur gemilang dan love local 2025

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama PETRONAS hari ini melancarkan Kempen Jalur Gemilang Kluster Industri dan Kempen Love Local 2025 bersempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Tahun 2025.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Stesen Minyak PETRONAS Papar itu disempurnakan oleh Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali. Turut hadir Ketua Bahagian Runcit Bahan Api PETRONAS Dagangan, Norazlan Subaha serta Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah & Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.

Armizan berkata, Kempen Jalur Gemilang yang membabitkan 4,320 stesen minyak seluruh negara merupakan sebahagian inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) yang diselaraskan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) melalui tujuh kluster utama termasuk industri.

“Pelibatan sektor industri amat penting dalam menyemarakkan semangat patriotisme. Dengan penglibatan PETRONAS, kita bukan sahaja mengibarkan Jalur Gemilang tetapi juga mengangkat produk tempatan melalui Love Local 2025,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran.

Armizan (dua kanan) melancarkan produk Love Local semasa majlis itu.

Sepanjang 25 Ogos hingga 30 September, Love Local 2025 akan menampilkan produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di rak khas Kedai Mesra PETRONAS seluruh negara. Produk terbabit dipromosikan dengan logo Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagi memperluas capaian pasaran dan meningkatkan sokongan rakyat terhadap produk tempatan.

Setakat ini, lebih 1,842 pembekal tempatan membekalkan produk ke rangkaian 850 Kedai Mesra PETRONAS di seluruh negara termasuk 50 di Sabah. Nilai jualan produk PMKS di rangkaian itu terus mencatatkan pertumbuhan positif dengan jumlah melebihi RM150 juta pada tahun lalu.

PETRONAS Dagangan mula menyokong usahawan tempatan sejak akhir 1980-an dengan menyediakan ruang runcit di Kedai Mesra. Pada tahun 2020, kempen Love Local diperkenalkan sebagai platform tersusun bagi memasarkan produk tempatan, khususnya semasa fasa pemulihan pasca COVID-19.

Kini lebih 1,800 pembekal tempatan terlibat dalam kempen berkenaan, termasuk 200 dari Sabah dengan 17 daripadanya di Papar. Inisiatif ini juga selari dengan tema KBBM 2025, “Jom Beli Lokal”, yang dilancarkan KPDN pada 27 Julai lalu.

Armizan melawat gerai pameran produk tempatan di perkarangan Stesen Minyak PETRONAS Papar di sini, hari ini.

Armizan berkata, kempen tersebut berjaya menunjukkan peningkatan momentum dari tahun ke tahun sejak diperkenalkan secara rasmi pada 2020.

“Alhamdulillah, setakat tahun lepas nilai jualan produk PMKS di Kedai Mesra telah melebihi RM150 juta. Kita berharap momentum ini berterusan pada tahun-tahun mendatang. Tahniah saya ucapkan kepada PETRONAS, khususnya PETRONAS Dagangan Berhad, kerana terus mendukung agenda besar kerajaan dalam memajukan usahawan tempatan,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan simbolik Kit Jalur Gemilang daripada wakil JAPEN kepada Armizan sebelum diserahkan kepada PETRONAS Dagangan sebagai wakil Kluster Industri.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular