Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada kontinjen Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah yang berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 dengan pencapaian membanggakan termasuk mencipta enam rekod baharu kejohanan.
Exco Pendidikan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif berkata, kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama negeri di persada kebangsaan, malah menjadi bukti kepada potensi besar bakat muda Sabah dalam arena sukan.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua atlet, jurulatih serta pegawai kontinjen Sabah yang berjuang gigih hingga mempertahankan kejuaraan MSSM tahun ini.
“Kejayaan ini adalah hasil disiplin, kerja keras dan semangat juang tinggi yang wajar dicontohi,” katanya ketika dihubungi Chronivo di sini pada Ahad.
Kontinjen Sabah berjaya membawa pulang 19 pingat emas; 22 perak dan 17 gangsa.
Berikutan kejayaan itu, Arifin berkata, Anugerah Khas Kecemerlangan Pelajar (AKSA) akan diberikan kepada 19 penerima pingat emas yang merupakan antara inisiatif penghargaan dari Kerajaan Sabah.
“Pemberian Anugerah AKSA ini adalah simbol pengiktirafan kita terhadap pencapaian atlet muda negeri yang telah mengharumkan nama Sabah.
“Kita mahu mereka terus bersemangat untuk melangkah lebih jauh, sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, anugerah AKSA diberikan kepada pelajar cemerlang dalam kurikulum dan ko-kurikulum diperingkat kebangsaan dan antarabangsa.
Tambahnya, sehingga Ogos 2025, lebih 20 pelajar telah menerima anugerah tersebut melibatkan jumlah sebanyak RM116,000.
Dalam kejohanan yang berlangsung di Perlis, kontinjen Sabah mengungguli pelbagai acara termasuk 4×100 meter bawah 18 tahun, 4×400 meter bawah 15 tahun, acara 400 meter lelaki bawah 15 tahun serta lempar cakera bawah 15 tahun.
Turut cemerlang ialah atlet muda yang mencipta rekod baharu dalam 80 meter berpagar kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun.
Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, Kerajaan negeri akan terus memperkukuh sokongan terhadap pembangunan sukan peringkat akar umbi melalui program sekolah, pusat latihan dan inisiatif bersama MSS Sabah.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, turut menzahirkan penghargaan sama kepada semua pihak yang menjayakan kejayaan tersebut.
“Saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada atlet yang mewakili Negeri Sabah dalam kejohanan olahraga MSSM Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.
“Anak-anak murid ini telah berjaya melaksanakan visi mempertahankan kejuaraan untuk dua tahun berturut-turut. Tahniah juga kepada semua jurulatih yang terlibat,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan ini diyakini bakal menjadi pemangkin kepada pencapaian lebih besar, termasuk persediaan kontinjen Sabah menghadapi temasya SUKMA akan datang.
“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakan strategik Jabatan Pendidikan Sabah yang terus memberi kerjasama kepada jabatan ini.
“Saya yakin kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha menjayakan landskap baharu pendidikan di Sabah,” katanya. – Chronivo