HomeUtamaGRS pacu ekonomi, bantu rakyat dan kukuh hasil negeri

GRS pacu ekonomi, bantu rakyat dan kukuh hasil negeri

Read Time:2 Minute, 42 Second

Kota Belud: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menolak dakwaan pembangkang bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah kerajaan yang gagal. 

Katanya, kenyataan sedemikian tidak berasas sama sekali kerana di bawah pentadbiran GRS, hasil negeri berjaya ditingkatkan kepada RM7 bilion berbanding hanya RM4 bilion sebelum ini.

Menurutnya, selain hasil negeri yang berjaya ditingkatkan, pelbagai bentuk bantuan terus disalurkan kepada rakyat.

“Jika benar Kerajaan GRS gagal, kita tidak akan mampu menyalurkan begitu banyak bantuan kepada rakyat, dan kita juga tidak akan mampu meningkatkan hasil negeri kepada RM7 bilion berbanding hanya RM4 bilion sebelum ini. 

“Pembangkang hanya tahu menyebarkan fitnah dan pembohongan di media sosial. Terutama kerajaan dua setengah tahun itu, mereka tidak mempunyai perancangan (semasa berkuasa) tetapi sekarang bercakap besar seolah-olah mereka tahu segalagalanya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Komuniti SMJ bersama Ketua Menteri di Kampung Pantai Emas di sini pada Ahad.

Hajiji berkata, sejak mengambil alih pentadbiran, Kerajaan Negeri GRS telah memulakan kira-kira 400 inisiatif di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya,  sekitar 94 peratus daripadanya telah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

Menurutnya lagi,  Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM1.49 bilion yang memberi manfaat kepada 336,076 penerima bantuan kebajikan dari tahun 2021 hingga 2024, termasuk Skim Bantuan Am (SBAM), Skim Bantuan Anak Yatim (SBAY) dan lain-lain. 

Beliau berkata, jumlah itu adalah tambahan kepada peruntukan RM385.5 juta pada tahun ini untuk pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memberi manfaat kepada 100,000 penerima daripada golongan miskin dan miskin tegar. 

“Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM488.5 juta untuk melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan,” katanya sambil menambah Kerajaan Negeri menggunakan Pangkalan Data Sabah atau PADANs untuk mengenal pasti bentuk intervensi bersesuaian berdasarkan profil Ketua Isi Rumah (KIR). 

Sementara itu, Hajiji berkata, pada tahun ini Kerajaan Negeri juga kekal komited menyokong aspirasi Kerajaan Persekutuan selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ dan Belanjawan Negeri Sabah 2025 dalam agenda pembasmian kemiskinan. 

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri telah membelanjakan kira-kira RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan khususnya dalam bidang pendidikan. 

“Perkara ini tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kita telah meningkatkan peruntukan biasiswa negeri kepada RM138 juta tahun ini berbanding hanya RM50 juta sebelum ini,” katanya. 

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri juga telah menekankan aspek Ekonomi Biru untuk menjana kekayaan baharu dan meningkatkan pendapatan negeri.

“Ini adalah tambahan kepada hasil tambahan daripada sektor minyak dan gas menerusi penglibatan lebih besar negeri selepas termeterainya Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) bersama Petronas,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata, Warisan sering bercakap seolah-olah merekalah yang memulakan Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), sedangkan program itu sebenarnya telah lama dilaksanakan sebelum itu. 

“Saya perlu menyatakan perkara ini kerana saya tidak mahu rakyat di Kota Belud terpedaya dengan pembohongan pembangkang,” katanya. 

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menyeru rakyat agar memastikan kemenangan gabungan itu di semua empat kerusi DUN di sini. 

Selepas itu, Hajiji turut menyampaikan geran tanah PANTAS kepada 10 penerima mewakili 502 yang lain. 

Beliau turut menyampaikan bantuan kebajikan, kunci Rumah Mesra SMJ, serta sumbangan kepada 66 buah sekolah di daerah ini melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Bomba komuniti Kampung Titingan terima sumbangan PPE kalis api

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular