HomeUtamaPuvet ATM perkasa usahawan veteran di Sabah

Puvet ATM perkasa usahawan veteran di Sabah

Read Time:1 Minute, 43 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM) buat julung kalinya dianjurkan di Sabah selepas 11 siri penganjuran di Semenanjung, membuka lebih banyak ruang kepada veteran di negeri ini untuk menceburi bidang keusahawanan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penganjuran di Sabah membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan veteran ATM di seluruh negara, termasuk di negeri ini, tidak tercicir daripada peluang ekonomi.

“Veteran yang bakal bersara mesti dibentuk sebagai penggerak ekonomi dan tenaga kerja berkualiti tinggi. Justeru, latihan dan pendedahan yang diberikan perlu relevan, berdaya saing serta boleh dimanfaatkan dalam pasaran.

“Sejak dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Julai 2023, seramai 216 veteran ATM telah menerima manfaat bernilai RM1.08 juta, manakala 1,975 usahawan veteran telah menyertai program berkenaan,” katanya ketika merasmikan PUVET ATM peringkat Sabah di sini, semalam.

Beliau berkata, PUVET ATM berperanan sebagai pemudah cara dalam menghubungkan usahawan veteran dengan pelbagai insentif termasuk khidmat kepakaran, fasiliti, geran dan latihan untuk memajukan perniagaan.

Katanya, lima ciri penting perlu diberikan penekanan untuk menjadi usahawan berjaya iaitu mengenali diri, pendidikan dan latihan, perancangan perniagaan yang mantap, inovasi serta kepimpinan berkesan.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan melalui PUVET ATM ialah perkongsian ilmu keusahawanan mikro dan sederhana, bimbingan pemasaran digital oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) serta kerjasama dengan agensi kerajaan negeri dalam penyediaan rancangan perniagaan,” ujarnya.

Menurutnya, usaha memperkasa sosioekonomi veteran turut merangkumi pelbagai skim bantuan lain, termasuk pemberian geran SPKLB, program Peduli Veteran Madani, program Veteran Desa Madani, serta penyertaan dalam projek agro tani bersama Kementerian Ekonomi.

Dalam majlis itu, sembilan usahawan veteran ATM menerima geran SPKLB berjumlah RM54,000, menjadikan keseluruhan 225 penerima manfaat dengan nilai terkumpul RM1.134 juta setakat ini.

Adly turut menyeru veteran ATM agar peka dengan peluang dalam industri berimpak tinggi termasuk teknologi digital, elektrik dan elektronik bernilai tinggi, serta pertanian moden sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT dan JHEV ATM akan terus memperluas kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan tiada veteran tercicir daripada skim bantuan yang disediakan kerajaan Madani,” katanya.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular