HomeUtamaMACP Jelajah Malaysia Timur 2025 perkukuh hak cipta dan potensi seni di...

MACP Jelajah Malaysia Timur 2025 perkukuh hak cipta dan potensi seni di Sabah

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad menganjurkan program MACP Jelajah Malaysia Timur (Sabah) 2025 di sini hari ini bagi memperkukuh kesedaran hak cipta dan mendekatkan hubungan dengan komuniti kreatif negeri ini.

Program tersebut menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi perkongsian “Ruang Sembang bersama MACP”, “Apa Kata Penerbit Muzik?” bersama wakil Taja Archive Sdn Bhd, serta “Rentak Borneo, Irama Negeri Di Bawah Bayu” yang menampilkan komposer dan penyanyi Velvet Aduk bersama penulis lirik Nazri Saidali.

Turut memeriahkan acara ialah segmen “Riuh Bah Bersama Kupi-Kupi FM” dan persembahan istimewa artis tempatan.

Ahli Lembaga Pengarah Pencipta MACP wakil Malaysia Timur, Roger Wang, berkata inisiatif ini membuka ruang baharu untuk memperkasa industri muzik di Sabah.

“Ini langkah permulaan yang baik. Saya yakin ia mampu memartabatkan industri muzik tempatan dan melahirkan lebih ramai bakat baharu yang berkualiti,” katanya.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif MACP, Mary Yap, pula menegaskan program jelajah itu menjadi platform berkesan dalam menyampaikan maklumat mengenai hak cipta dan hak ekonomi kepada komuniti kreatif negeri ini.

Menurutnya, usaha berterusan MACP termasuk melindungi karya tempatan seperti lagu etnik Sabah serta lagu antarabangsa, selain melengkapkan peranan dengan penubuhan Music Rights Sabah (MRS) sebagai Organisasi Pengurusan Kolektif bagi memastikan kutipan royalti lebih menyeluruh.

MACP turut berkongsi perkembangan terkini mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam muzik, dengan menetapkan hanya karya ciptaan sepenuhnya oleh manusia layak didaftarkan.

Di samping itu, MACP telah melesenkan platform digital utama seperti Disney+, YouTube, Meta, TikTok, Spotify dan Apple Music, selain stesen radio, televisyen serta premis perniagaan. Ahli MACP akan menerima royalti hak persembahan daripada semua platform berlesen ini.

Sehubungan itu, MACP menyeru kerjasama berterusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk memperkukuh perlindungan hak cipta di Sabah.

“Penggiat seni di Sabah perlu sedar bahawa karya mereka bukan sahaja bernilai dari aspek seni, tetapi juga dari sudut ekonomi. Dengan pemahaman yang betul, mereka mampu melindungi hasil karya, menjana pendapatan yang adil, dan memastikan karya seni terus terpelihara,” jelas Mary lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah cadang beri pendidikan percuma untuk pelajar lanjut ke IPT milik...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular