HomeUtama1,000 sukarelawan jayakan 'KK Cleanup Day 2.0', fokus kebersihan bandaraya dan kepulauan

1,000 sukarelawan jayakan ‘KK Cleanup Day 2.0’, fokus kebersihan bandaraya dan kepulauan

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu : Lebih 1,000 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, penduduk kampung serta pasukan keselamatan berganding bahu menjayakan program KK Cleanup Day 2.0 sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2025.

Program yang disempurnakan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah itu turut melancarkan Cabaran ‘Kampungku Bersih’ Edisi Kepulauan 2025, membabitkan tujuh buah kampung di kawasan kepulauan.

Sabin menerima sumbangan kelengkapan surau anjung senja dari PUSPANITA Kota Kinabalu – Alexter Rosalia

Katanya, program bersempena sambutan Bulan Kebangsaan itu bukan sahaja menumpukan pembersihan di sekitar bandaraya, malah turut merangkumi kawasan laut dan kampung-kampung di pulau.

“Usaha seperti ini penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya penduduk di kepulauan, agar sama-sama menjaga kebersihan termasuk sisa plastik yang sering mencemarkan laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui media selepas pelancaran program itu di Dataran Bandaraya di sini pada Sabtu.

Bot yang digunakan untuk membuat pembersihan sampah di laut

Program itu turut menyaksikan pelancaran inisiatif baharu KKClean, hasil kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan Prestige Recycle Technics Sdn. Bhd.

Sabin berkata, melalui teknologi inovatif syarikat itu, semua botol plastik yang dikumpul boleh dikitar semula tanpa perlu proses pra-cucian (pre-washing).

Katanya, langkah itu diyakin dapat mengurangkan kos dan penggunaan air dalam proses kitar semula selain mempercepatkan aliran kitaran semula bahan plastik menjadi bahan mentah industri,

Menurutnya, inisiatif itu turut menyokong agenda pengurangan jejak karbon dan kelestarian bandaraya.

“Pendekatan inovatif ini membuktikan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti dan sektor swasta mampu memberi impak besar dalam agenda kelestarian bandaraya,” katanya.

Sementara itu, Sabin berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, bandaraya yang bersih bukan sahaja meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti hidup, malah menyumbang kepada sektor pelancongan serta menggalakkan ekonomi setempat.

“Dengan semangat itu, KK Cleanup 2.0 bukan sekadar program gotong-royong, tetapi dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk kesihatan masyarakat, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan generasi akan datang.

“Marilah kita terus berganding bahu menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandaraya contoh – sebuah bandaraya bersih, hijau dan lestari,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular