Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang anggota polis dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam melibatkan wang tunai RM366.
Lans Koperal Nik Ismail Ghazali dibebaskan dan dilepaskan tanpa perlu membela diri oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Mohd Salim hari ini.
Noor Hafizah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Nik Ismail.
Nik Ismail didakwa bersama dua orang rakan yang masih bebas pada 11 Disember 2022 jam lebih kurang 2.47 pagi, bertempat di Kedai Serbaneka Orange di Segama telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap pekerja wanita dan melarikan harta iaitu wang tunai lebih kurang RM 368.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Seramai lima saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula pada 14 Mac 2024.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Eugenie M. Gilbert manakala Nik Ismail diwakili peguam Datuk Rakhbir Singh.