KOTA BELUD: Kestabilan politik yang dinikmati Sabah ketika ini membuktikan kekuatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan tempatan, kata Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan Parti Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang sanggup bekerjasama dengan Umno dalam cubaan menjatuhkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Januari 2023, sekali gus memperlihatkan hipokrasi politik.
Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata meskipun kerajaan negeri pimpinan GRS menolak penubuhan Jawatankuasa Desa Madani (JKDM) yang dianggap taktik “pecah dan perintah”, Warisan dan PKDM tetap menyokongnya malah ramai pemimpin akar umbi mereka dilantik sebagai pengerusi.
“Sebaliknya, GRS berjaya menyatukan parti-parti tempatan hingga menjadi kuasa dominan politik negeri. Malah Pakatan Harapan (PH) sendiri memilih bekerjasama dengan gabungan tempatan pimpinan Hajiji demi kestabilan Sabah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Kadamaian, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan GRS akan terus memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sambil bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk membawa pelaburan, infrastruktur dan peluang pembangunan ke negeri ini.
Pada masa sama, Joniston turut memuji kepimpinan PBS Kadamaian yang diketuai Demis Rumanti kerana terus memastikan kelangsungan parti di kawasan berkenaan, sekali gus kekal sebagai kerusi berpotensi untuk dimenangi.