HomeUtamaKelemahan pengurusan trafik di laluan bertingkat Tebobon jejaskan keselamatan penduduk

Kelemahan pengurusan trafik di laluan bertingkat Tebobon jejaskan keselamatan penduduk

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : Pihak kontraktor yang mengendalikan projek pembinaan laluan bertingkat di Tebobon, Sepanggar di sini digesa agar segera memperbaiki pelan pengurusan trafik susulan rungutan berterusan daripada penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan itu.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Mohammed Razali Razi berkata, kelemahan pengurusan trafik yang berlaku sepanjang pembinaan projek tersebut telah menyebabkan kesesakan luar biasa dan meningkatkan risiko kemalangan, termasuk di kawasan yang pernah merekodkan insiden maut.

“Jalan bukan sahaja sesak pada waktu puncak, tetapi hampir sepanjang hari. Pusingan U pula terlalu jauh dan tidak sistematik selain papan tanda tidak jelas dan membingungkan.

“Kawasan ini juga melibatkan empat buah sekolah, perkampungan dan perumahan padat di mana kesibukan yang berterusan, boleh melambatkan segala urusan penting selain jalan yang amat membahayakan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Razali Razi

Razali berkata, punca utama kesesakan tidak hanya disebabkan pembinaan laluan bertingkat semata-mata, tetapi turut berpunca daripada kelewatan kerja-kerja penurapan jalan di kawasan Bandar Sierra yang mengakibatkan lorong jalan menjadi kecil dan sempit.

Katanya, kontraktor sepatutnya menyediakan kontinjensi plan sebelum memulakan projek, dan memastikan pelaksanaannya dipantau dengan kerap, bukannya membiarkan rakyat menanggung kesusahan setiap hari.

Tambahnya,  kontraktor yang menerima bayaran lumayan diingatkan agar tidak bersikap sambil lewa dalam menguruskan projek infrastruktur penting yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Kalau di Kuala Lumpur, bandaraya besar dengan projek mega pun boleh mengatur sistem pengurusan trafik dengan baik, mengapa kita di bandar Kota Kinabalu tidak mampu?.

” Ini bukan soal teknikal semata-mata, tetapi soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Razali menggesa kontraktor dan pihak konsesi segera menyemak semula pelan pengurusan trafik, menambah papan tanda sementara yang jelas, menyediakan laluan alternatif yang lebih efisien serta melaksanakan pemantauan berjadual agar kelemahan sedia ada dapat diatasi segera.

Tambah beliau lagi, pihak di peringkat kerajaan sudah berusaha menaik taraf jalan raya di negeri ini, namun rakyat tidak wajar menjadi mangsa kelemahan pengurusan kontraktor.

“Infrastruktur seharusnya memudahkan rakyat, bukan menyusahkan. Masa yang hilang, minyak yang terbazir dan tekanan emosi pengguna jalan raya adalah satu bentuk ketidakadilan sosial yang tidak boleh dibiarkan,” tambahnya lagi. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tukar MyKad rosak percuma mulai esok hingga 7 Oktober

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular