HomeUtama157 kontijen memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025

157 kontijen memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025

Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Sebanyak 157 kontijen bakal memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025 pada 31 Ogos ini, yang dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 orang seperti tahun sebelumnya.

Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, acara itu akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens (berhadapan Hotel Promenade) bermula jam 7.30 pagi.

“Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama Toh Puan Faridah Tusin dijadual hadir, manakala Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Datuk Juliah Salag turut hadir memeriahkan acara,” katanya dalam Sidang media Sempena Sambutan Hari Kebangsaan & Hari Sabah di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, Kepayan di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, sebanyak sepuluh kategori kontijen yang terlibat ialah sekolah rendah, sekolah menengah, institut pengajian tinggi awam (IPTA), institut pengajian tinggi swasta (IPTS), badan bukan kerajaan (NGO), persatuan beruniform, jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, sukarelawan, serta pertubuhan belia.

“Selain itu, sambutan turut menampilkan penyertaan baharu tahun ini iaitu pemilik skuter seramai 50 orang serta persembahan kawad senyap. Acara popular setiap tahun pula akan diserikan dengan persembahan kebudayaan khas oleh Lembaga Kebudayaan Sabah.

“Di peringkat daerah, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah turut berlangsung, termasuk majlis doa di rumah-rumah ibadah lain di Sabah. Jabatan Penerangan pula mengadakan program jelajah untuk menyampaikan mesej patriotisme di seluruh daerah di Sabah,” tambahnya.

Masidi juga menjelaskan, pada sebelah malam, sambutan Hari Sabah akan diadakan di Padang Merdeka sebagai kesinambungan acara siang.
Majlis penuh istiadat ini merangkumi upacara tabik hormat, menaikkan bendera, lafaz ikrar, serta persembahan koir. Kemuncak sambutan adalah perarakan kontijen perbarisan, kenderaan, dan perarakan Jalur Gemilang serta bendera negeri yang menjadi tarikan utama setiap tahun.

Majlis dijangka berakhir sekitar jam 10.30 pagi dengan keberangkatan pulang Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah bersama dif-dif kehormat.

RELATED ARTICLES
Utama

800 bungkusan makanan disumbangkan kepada mangsa banjir, petugas di Penampang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular