Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Peguam Datuk Ram Singh menegaskan beliau tidak pernah menerima, meminta atau dipengaruhi oleh sebarang imbuhan daripada mana-mana parti politik atau mana-mana pihak berkepentingan.
Ram, yang mewakili seorang daripada lima remaja didakwa dalam kes berkaitan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, berkata beliau juga tidak pernah membenarkan sebarang pertimbangan tidak wajar mempengaruhi keputusanya.
“Saya mengambil maklum dengan penuh kebimbangan mengenai sebuah foto yang telah banyak dikongsi di media sosial dengan insinuasi seolah-olah integriti saya telah terjejas dalam satu kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah Kanak-Kanak.
“Saya ingin menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah sama sekali tidak benar, berniat jahat dan bertujuan mencemarkan reputasi profesional saya. Sepanjang masa, saya telah menjalankan tugas dengan berpegang kepada piawaian etika tertinggi profesion guaman serta peraturan tatakelakuan profesional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, sebelum prosiding Mahkamah Kanak-Kanak bermula, Ram memaklumkan bahawa beliau bersama dua lagi peguam mewakili anak guam mereka secara pro bono (percuma).
Namanya menjadi tumpuan selepas tular di media sosial sebagai peguam berprofil tinggi, selain dikaitkan dengan permohonan perintah ‘gag’ dalam kes berkenaan.
Lima remaja terbabit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana menggunakan perkataan mencela Zara yang mungkin menyebabkannya berasa terganggu dengan perkataan tersebut.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Ram menambah, sebagai pegawai mahkamah, menjadi tanggungjawabnya menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan kewajipan itu sentiasa dilaksanakan dengan penuh teliti.
“Saya menyeru orang ramai agar mengetepikan dakwaan tidak berasas ini.
“Sekiranya fitnah ini berterusan, saya tidak akan teragak-agak mengambil semua langkah undang-undang yang perlu bagi melindungi nama baik serta kedudukan profesional saya,” katanya.