Tuaran : Kerajaan Sabah telah melaksanakan banyak inisiatif yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk membantu pelajar di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM1.33 bilion untuk tujuan itu bagi tempoh hampir lima tahun.
“Belum pernah sebelum ini begitu banyak inisiatif dilaksanakan bagi pembangunan modal insan dan pendidikan di negeri ini.
“Malah biasiswa negeri yang diagihkan kepada pelajar tahun ini juga telah meningkat kepada RM138 juta berbanding kira-kira RM50 juta sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung, yang dinamakan sempena nama beliau, di Topokon di sini pada Khamis.
Hajiji berkata, jumlah itu masih belum mencukupi, dan beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menambah peruntukan tahun depan agar lebih ramai pelajar Sabah yang cemerlang dapat menikmati bantuan ini.
Katanya, Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan tunai RM200 kepada kira- kira 40,000 pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM setiap tahun.
“Saya faham bahawa dalam kalangan 40,000 pelajar ini, pasti ada yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Saya masih ingat ketika saya hendak menduduki peperiksaan LCE (Lower Cambridge Examination) pada tahun 1971, ibu saya terpaksa pergi meminjam wang daripada saudara-mara untuk membayar yuran peperiksaan sebanyak RM15. Jadi saya amat memahami betapa sukarnya keadaan itu,” katanya.
Sementara itu, Hajiji memberi jaminan bahawa pembangunan modal insan dan pendidikan akan terus menjadi keutamaan utama Kerajaan Negeri masa kini.
“Pembangunan modal insan dan pendidikan merupakan tumpuan utama pembangunan negeri secara keseluruhan di bawah Hala Tuju SMJ.
“Kita telah mencapai kemajuan ketara dalam membangunkan ekonomi Sabah melalui sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian. Namun perjuangan kita tidak akan lengkap jika kita gagal membangunkan sektor pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menggesa para guru supaya membantu menyampaikan maklumat yang tepat mengenai dasar serta program pembangunan kerajaan.
“Jangan terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan pihak pembangkang. Mereka tidak nampak semua pencapaian Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata rekod pencapaian Kerajaan Negeri dalam membawa masuk pelaburan berimpak tinggi ke Sabah dan mewujudkan peluang pekerjaan sudah terbukti.
“Kalau betul kita buat salah, kenapa begitu ramai pelabur datang ke Sabah?,” katanya.
Menurutnya, pelaburan terbaharu ke Sabah adalah syarikat dari Singapura yang akan melabur sebanyak RM31 bilion dalam tiga fasa di Sipitang.
Kemudian, Hajiji turut menyaksikan majlis pemotongan kek perpisahan bagi meraikan persaraan Guru Besar SK Bundung, Grace Subramaniam. – Chronivo