Kota Kinabalu : Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah melancarkan Program Inovatif Kesihatan Mental Remaja di HUMS baru-baru ini.
Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Datuk Mohd Noh berkata, penganjuran program tersebut bertujuan untuk membekalkan remaja dengan kemahiran emosi dan sosial yang penting bagi menghadapi cabaran kehidupan.
“Selain itu, program ini hadir tepat pada masanya memandangkan statistik menunjukkan kes buli di Malaysia meningkat sebanyak 77 peratus dari tahun 2015 hingga 2023.

“Di Sabah khususnya, kadar prevalens buli dalam kalangan pelajar sekolah berada pada paras sembilan hingga 10 peratus, membuktikan perlunya intervensi segera, pencegahan berkesan, serta penglibatan aktif semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan.
“Justeru itu, program ini dilihat mampu memberi kemahiran dan ruang selamat kepada remaja agar mereka dapat mengawal emosi, menyelesaikan konflik secara aman, dan saling menyokong,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada majlis pelancaran program tersebut.
Malehah berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada aspek kesedaran dan pengawalan emosi, serta kemahiran interpersonal dalam kalangan remaja.
“Melalui sesi interaktif bersama pelajar dan guru, program ini menyediakan alat praktikal untuk membantu remaja mengurus tekanan, membina hubungan sihat, dan meningkatkan daya tahan diri.
“Kerjasama HUMS dan UNICEF ini turut merangkumi latihan kepada guru serta kaunselor sekolah, bagi memastikan kesannya berkekalan,” katanya.
Katanya, harapan HUMS dan UNICEF adalah agar program ini bukan sahaja dapat mengurangkan kes buli dan tekanan emosi di sekolah, tetapi juga membentuk generasi muda Malaysia yang lebih berdaya tahan, berempati, dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.