SEPANG,– Seorang guru, Siti Hajar Aflah Sharudin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan menyebarkan maklumat palsu mengenai kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Tertuduh yang menggunakan akaun TikTok “SHA_Abrienda” itu didakwa oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zaiful Bahrain Kamde.
Mengikut pertuduhan, pada 6 Ogos 2025 sekitar jam 1.20 petang, tertuduh didakwa memuat naik satu kenyataan di akaun TikTok miliknya. Kenyataan itu kemudian dilihat dan didengar oleh seorang individu bernama Wong Yew Zhung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), Sepang. Ia didakwa berpotensi menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong orang lain melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM10,000, namun dibantah oleh pihak pembelaan dengan alasan tertuduh merupakan ibu tunggal yang berpendapatan RM5,000 sebulan sebagai guru, selain menanggung tiga anak dan kedua ibu bapanya.
Majistret Khairatul Animah Jelani kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan tertuduh didakwa menyebarkan dakwaan tidak sahih bahawa Zara Qairina meninggal dunia selepas dimasukkan ke dalam mesin basuh dimana Polis mengesahkan kenyataan itu tidak pernah disahkan oleh pihak berkuasa mahupun pihak berkaitan.
Dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika memberitahu parlimen menjelaskan bahawa hsil siasatan mendapati guru itu memberi alasan dia sekadar mahu “buat content”.
“Guru bahasa Inggeris, kita tangkap dan kalau Peguam Negara bersetuju akan tuduh. Tapi ‘content’ dia itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat, di dalam dan di luar dewan ini,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat