Kuala Lumpur : Seramai 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia boleh mula menyemak kelayakan penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di portal rasmi SARA bermula hari ini.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, penerima juga boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) dan maklumat lanjut seperti senarai kedai mengikut bandar dan panduan membeli barangan SARA di portal berkenaan.
Menurut kenyataan itu, secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit Penghargaan SARA yang lebih tinggi.
Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400.
“Tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat memandangkan kelayakan untuk Penghargaan SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang tipu helah atau scammer, memandangkan bantuan Penghargaan SARA akan disalurkan secara langsung kepada MyKad penerima.
“Bantuan Penghargaan SARA ini boleh dibelanjakan di lebih 7,300 premis runcit yang berdaftar dan akan bertambah dari semasa ke semasa. Penerima boleh membeli lebih 100,000 barangan keperluan dalam 14 kategori.
“Ini termasuk makanan asas seperti beras dan telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan, keperluan sekolah dan kebersihan diri,” menurut kenyataan itu di sini pada khamis.
Dengan pelaksanaan program Penghargaan SARA, jumlah keseluruhan peruntukan di bawah program STR dan SARA telah meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion bagi tahun 2025, 50 peratus lebih tinggi daripada RM10 bilion pada tahun 2024.
Terdahulu, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa ucapan penghargaan kepada rakyat bulan lalu, bantuan penghargaan SARA sebanyak RM100 ini akan disalurkan ke dalam MyKad penerima mulai 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan, dan ia boleh dimanfaatkan sehingga 31 Disember 2025.
Setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada tahun 2007 dan sebelum akan menerima bantuan ini, termasuk penerima SARA sedia ada.
“Penghargaan SARA merupakan usaha ikhlas Kerajaan MADANI, yang julung kalinya memanjangkan bantuan tunai kepada seluruh warganegara dewasa, untuk mengagihkan hasil reformasi kewangan awam kepada rakyat sejagat,” katanya. – Chronivo