HomeUtamaPeguam Wakili Lima Remaja Dalam Kes Zara Berikan Khidmat Secara Pro Bono

Peguam Wakili Lima Remaja Dalam Kes Zara Berikan Khidmat Secara Pro Bono

Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Semua peguam yang mewakili lima remaja didakwa membuli Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tampil memberikan khidmat secara pro bono (perkhidmatan guaman percuma).

Tanpa mendedahkan identiti dan status tertuduh, Datuk Ram Singh menegaskan anak guamnya bukanlah anak kepada mana-mana individu kenamaan atau VVIP.

“Dia (tertuduh) bukan anak VVIP, sebaliknya seorang kanak-kanak yang turut mempunyai hak untuk diwakili.

“Kami dihubungi oleh keluarga tertuduh untuk mendapatkan khidmat guaman, dan saya bersama peguam lain bersetuju mewakili mereka secara pro bono,” katanya ketika ditemui sebelum prosiding Mahkamah Kanak-Kanak bermula pagi tadi.

Ram bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada lima tertuduh.

Empat lagi tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.

Mereka juga menegaskan anak guam mereka bukan daripada kalangan VVIP.

Menurut Azhier, tertuduh yang mereka wakili juga perlu diberi peluang dan ruang untuk mengemukakan bukti menyokong pembelaan mereka.

“Anak guam kami juga berhak mendapat perlindungan sebagaimana dijamin oleh undang-undang, iaitu diberi peluang mengemukakan bukti dan keterangan bagi menyokong pembelaan mereka di mahkamah kelak,” katanya.

Terdahulu, lima remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir. Mereka mengaku tidak bersalah.

Prosiding berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak secara tertutup, dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Selepas prosiding, media dimaklumkan bahawa Ram telah memohon ‘gag order’ bagi menghalang pendedahan lanjut berhubung kes tersebut.

Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah di Papar pada 16 Julai.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular