HomeUtamaLima remaja didakwa mencela Zara mengaku tidak bersalah

Lima remaja didakwa mencela Zara mengaku tidak bersalah

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Lima remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Semua tertuduh, yang identiti mereka tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus.

Kelima-lima tertuduh didakwa mencapai niat bersama menggunakan perkataan mencela terhadap Zara yang mana perkataan tersebut didengari yang mungkin menyebabkan Zara berasa terganggu dengan perkataan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 15 Julai lalu di antara jam lebih kurang 10 malam sehingga 11 malam.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Prosiding berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak secara tertutup dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Mahkamah menetapkan 8 hingga 12 Disember dan 15 hingga 19 Disember untuk perbicaraan, manakala sebutan pengurusan kes pra-bicara ditetapkan pada 25 September dan 16 Oktober

Setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan RM1,000 perlu didepositkan bersama penjamin tempatan.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan

Empat daripada tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.

Seorang lagi tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh, dan Prem Elmer Ganasan.

Kelmarin, Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan bahawa pendakwaan terhadap lima remaja dalam kes Zara dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana ia hanya berkaitan kesalahan buli dan bukan kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Keputusan untuk meneruskan pertuduhan semasa, dan bukan di bawah Seksyen 507D(2) seperti dicadangkan oleh peguam yang mewakili keluarga Zara, adalah berdasarkan bukti serta fakta yang diperoleh sepanjang siasatan.

Sehubungan itu, AGC berkata satu inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina.

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan 3 September depan sebagai tarikh bermulanya prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina.

Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai, selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah di Papar pada 16 Julai.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular