Sandakan : Lebih 500 pelajar dan mahasiswa di daerah ini menerima pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) di sini pada Selasa.
Majlis penyerahan bantuan itu disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif di Dewan Serbaguna Libaran.
Hadir sama pada majlis itu Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar Khan Bahadar.
Arifin berkata, TPNS adalah bukti kepada keprihatinan kerajaan negeri untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, khususnya anak-anak Sabah dari keluarga berpendapatan rendah.
“Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah menjadi inspirasi kepada pelajar untuk terus gigih mencapai kecemerlangan.
“Pendidikan adalah kunci kepada masa depan Sabah yang lebih maju dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan TPNS di Dewan Serbaguna Libaran, di sini pada Selasa.
Majlis itu menyaksikan seramai 39 orang pelajar cemerlang terdiri daripada 16 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dua pelajar Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), 17 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan empat pelajar STPM (Sekolah Luar Bandar) tahun 2024.
Para penerima menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang bagi pelajar cemerlang SPM, STPM dan MUET, serta RM500 bagi pelajar STPM luar bandar bagi meringankan beban kewangan mereka dalam usaha melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi.
Selain itu, seramai 441 orang mahasiswa golongan B40 menerima bantuan sekali bayar yang terdiri daripada 17 mahasiswa Politeknik Sandakan, 143 mahasiswa Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan dan 35 mahasiswa Kolej Komuniti Sandakan.
Selain itu, 51 mahasiswa Kolej Kemahiran TVET Sandakan, 104 mahasiswa Ijazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), dua mahasiswa Sarjana, UMS, 86 mahasiswa Open University Malaysia (OUM) Pusat Pengajian Sandakan, dan tiga mahasiswa Institut Pengajian Tinggi sekitar daerah Sandakan turut menerima bantuan.
Dalam majlis yang sama, seramai 50 pelajar turut menerima bantuan cermin mata, serta tiga buah sekolah menerima Bantuan Sekolah Angkat iaitu SK Sungai Manila, Sandakan dan SK Pulau Timbang, Sandakan masing-masing menerima bantuan sebanyak RM5,000 serta SMK Tongod yang menerima bantuan sebanyak RM10,000.
Sekolah Pondok Miftahussalam, Sandakan menerima bantuan sebanyak RM6,500.
Program turut menyaksikan penyampaian inisiatif pendidikan sedia ada di bawah Yayasan Sabah seperti Bantuan Galakan Usaha Sekolah (BAGUS), Skim Umum Kecemerlangan Siswa (SUKSES), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Insentif Siswa Terbaik (BISTARI).
Majlis berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi berilmu, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah.
TPNS merupakan inisiatif proaktif Kerajaan Negeri Sabah melalui Kumpulan Yayasan Sabah dalam usaha meringankan beban kewangan golongan keluarga berpendapatan rendah.
Ia turut mencerminkan komitmen untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat. – Chronivo / FOTO KYS