HomeUtamaGas Asli Terus Pacu Pertumbuhan Ekonomi Sabah

Gas Asli Terus Pacu Pertumbuhan Ekonomi Sabah

Read Time:4 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU —  Sabah tidak boleh secara realistik menjadikan gas sebagai “bahan api peralihan” dalam usaha menuju tenaga boleh baharu (TBB). Ini kerana sebanyak 90% penjanaan elektriknya sudah bergantung kepada gas asli.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC), Datuk Harun Ismail, dasar peralihan tenaga negara yang menggunakan gas asli sebagai jambatan bersih antara arang batu dan TBB lebih relevan di Semenanjung Malaysia. Ia berdasarkan hakikat arang batu masih menyumbang antara 50%–60% dalam campuran penjanaan tenaga.

“Memandangkan campuran penjanaan (generation Mix) kita sudah pun 90% terdiri daripada gas asli, kita tidak boleh lagi menggunakan gas asli sebagai bahan api peralihan daripada gas kepada TBB. Jadi, kita perlu mencari bahan api lain dalam peralihan menuju penggunaan TBB sepenuhnya” kata beliau kepada Chronivo.

“Pada asasnya, Sabah perlu merangka visinya sendiri kerana latar belakang kita berbeza; campuran bahan api di Semenanjung dan Sabah tidak sama,” katanya.

Sinar Cerah Industri Gas Sabah

Mengulas mengenai industri gas di Sabah, Harun menekankan prospek yang jelas dan menguntungkan.

Katanya, industri gas di Sabah sangat berpotensi seperti mana di Sarawak, yang mempunyai projek LNG mereka. Di Sabah, kira-kira 320 juta kaki padu gas sehari akan digunakan untuk loji LNG terapung (ZLNG) yang kini sedang dibina di Korea. Projek ini dijangka menghasilkan kira-kira dua juta tan metrik LNG setahun.

Loji terapung itu dijangka siap dan memulakan operasi di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) pada awal tahun 2027. Pembinaan jeti di SOGIP juga sedang berjalan dan dijangka siap sebelum tarikh tersebut.

“Projek ini akan memberi impak ekonomi yang tinggi kepada wilayah kita kerana ia akan menambah hasil negeri. Kerajaan negeri telah mengumumkan akan menerima 25% pegangan saham dalam projek ini melalui SMJ Energy, yang akan memberikan pulangan dividen yang besar.

“Selain itu, hasil kerajaan negeri juga akan meningkat melalui kutipan cukai jualan. Jadi, penggunaan gas asli sama ada dalam bentuk cecair untuk eksport atau untuk industri lain sememangnya mendatangkan banyak kebaikan,” katanya.

Usaha Cari Gali Baharu

Ditanya mengenai rizab gas semasa, beliau berkata Petronas dan syarikat-syarikat Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) sedang giat menjalankan aktiviti cari gali, kebanyakannya di perairan pantai barat Sabah.

Namun, usaha cari gali juga dilakukan di pantai utara dan timur. Baru-baru ini, satu blok di perairan Sandakan telah dianugerahkan selepas penemuan sedikit gas di sana, yang mungkin boleh digunakan untuk penjanaan kuasa atau industri, walaupun jumlahnya tidak begitu besar.

Sementara itu, rundingan kerajaan Malaysia dan Indonesia (G2G) sedang berlangsung berkaitan blok ND6 dan ND7 di sempadan Kalimantan-Sabah.

“Saya difahamkan terdapat rizab minyak dan gas yang besar di kawasan tersebut. Jika gas dari sana dibawa ke darat, lokasinya belum diputuskan. Mendaratkannya di SOGIP mungkin terlalu jauh, jadi kemungkinan besar ia akan didaratkan di pantai timur.

“Pilihan lain adalah memprosesnya di laut melalui satu lagi loji LNG terapung. Walau apa pun keputusannya, ia akan memberikan pulangan tinggi kepada Sabah dari segi penyertaan ekuiti

Industri Gas Bakal Memanfaatkan Rakyat

Menurut Harun, berdasarkan pengalaman menguruskan SOGIP, projek ini dijadikan model untuk membangunkan kawasan perindustrian di tempat lain.

SOGIP menyediakan peluang pekerjaan besar serta limpahan ekonomi kepada peniaga kecil di sekitar Sipitang.

“Ia bukan hanya memberi impak yang amat signifikan kepada hasil cukai kerajaan negeri dan persekutuan, tetapi ia turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Malah, peniaga kecil turut mendapat tempias daripada projek ini apabila mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka”

“Apabila ramai pekerja berada di sana, permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan meningkat, memberi manfaat kepada penjual sayur, ikan, dan sebagainya. Keadaan ini sudah pun berlaku di Sipitang. Jika dahulu tiada, kini sudah banyak gerai jualan di luar SOGIP,” katanya.

Tambah beliau, salah satu kesan positif lain yang dinikmati penduduk kawasan itu adalah peningkatan nilai hartanah.

“Nilai sewa premis meningkat mendadak. Sebagai perbandingan, kadar sewa untuk sebuah rumah banglo dengan standard yang sama adalah lebih tinggi di Sipitang berbanding di Kota Kinabalu.

“Saya difahamkan ada sebuah rumah disewa dengan harga RM10,000 sebulan di sana, sedangkan di sini mungkin hanya sekitar RM2,000–RM3,000. Ini menunjukkan bagaimana pelaburan industri secara tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Keperluan Pelaburan Antarabangsa Bersama Kepakaran Industri Tenaga

Menurut Harun, beliau amat menggalakkan pelaburan antarabangsa demi meningkatkan kepakaran dalam industri tenaga.

Baru-baru ini, kerajaan negeri mengumumkan tiga lagi tapak perindustrian baharu: satu di Kudat untuk Ekonomi Biru, satu di Kota Belud, dan satu lagi di Beaufort.

Kesemua tapak ini memerlukan perancangan komprehensif untuk menentukan jenis industri yang sesuai serta bekalan tenaga yang stabil, dan kerajaan sedang berusaha keras menanganinya.

Memandangkan Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan SOGIP sudah hampir penuh, taman-taman perindustrian baharu ini akan membuka ruang kepada pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di Sabah.

“Sabah adalah negeri yang sangat mesra pelabur. Proses kelulusan dipercepat melalui Pusat Sehenti (One-Stop Center) yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE). Buktinya, SOGIP berjaya dipenuhkan dalam tempoh kurang dari tiga tahun.

“Namun, cabaran utama adalah menyediakan bekalan tenaga yang stabil, kos efektif, dan lestari. Perlu difahami bahawa pembinaan sebuah loji janakuasa mengambil masa tiga hingga lima tahun, tidak termasuk proses kelulusan. Jadi, kita tidak boleh menjangkakan projek yang diumumkan hari ini akan siap pada bulan hadapan,” jelasnya.

Beliau menambah, pengumuman kerajaan baru-baru ini menyatakan bahawa bekalan gas adalah mencukupi untuk pelabur berimpak tinggi sedia ada. Namun, jika ada lagi projek baharu yang memerlukan gas dalam jumlah besar, ia mungkin perlu ditangguh sehingga bekalan baharu ditemui.

Untuk rekod, Kementerian Ekonomi pada Februari lalu memaklumkan bahawa Malaysia bakal melancarkan Pelan Hala Tuju Gas Asli pada suku kedua atau ketiga tahun ini, dalam usaha mengukuhkan sektor tenaga dan menarik lebih banyak pelaburan.

Dengan sumbangan semasa bernilai RM52 bilion kepada ekonomi, gas asli dijangka kekal sebagai komponen penting dalam campuran tenaga negara.

“Namun, pelaksanaan yang berkesan memerlukan keseimbangan dan pendekatan kolaboratif bagi menangani cabaran utama industri ini,” kata Kementerian itu lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular