Kota Kinabalu : Peguam kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13, menjelaskan gambar yang tular di media sosial bersama Ketua Menteri dan Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah gambar lama dirakam pada Jun 2025.
Peguam, Shahlan Jufri berkata, gambar berkenaan langsung tidak mempunyai kaitan dengan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina.
Katanya, cubaan pihak tertentu mengaitkannya adalah fitnah berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat dan beliau menegaskan komitmen hanya kepada keadilan Zara Qairina.
“Untuk rekod perkara-perkara utama telah pun dilaksanakan selepas pelantikan saya selaku peguam Zara, antaranya penggalian semula kubur telah berjaya; pelaksanaan ‘post mortem’ telah berjaya dan berada di bilik bedah siasat selama kurang lebih lapan jam atas kehendak anak guam.
“Selain itu, turut dilaksanakan adalah memohon agar pelaku dikenakan hukuman yang lebih berat iaitu maksimum 10 tahun; dan permohonan inkues dibenarkan dan sedang berjalan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam ini.
Shahlan berkata, sebagai peguam beliau bertindak tanpa takut atau pilih kasih, menegakkan proses adil serta integriti undang-undang.
“Saya tidak akan tunduk pada sebarang tekanan atau cubaan memesongkan dan menggangu perjuangan ini yang berlaku sejak daripada hari pertama saya dilantik sebagai peguam zara!,” katanya. – Chronivo