Oleh J.Evachel John
KOTA KINABALU: Majlis Media Malaysia (MMM) memandang serius perkembangan terkini berkaitan liputan kes Zara Qairina dan mengingatkan media agar sentiasa melaporkan secara tepat, beretika dan penuh kepekaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, MMM menegaskan bahawa memandangkan kes ini melibatkan seorang kanak-kanak, media mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk menjaga maruah, privasi serta keselamatan mereka.
MMM turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan daripada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) berhubung insiden ketika sidang media inkues kes Zara Qairina baru-baru ini.
Menurut SJA, individu tidak bertauliah telah memasuki zon media, berdiri terlalu dekat dengan wartawan wanita, mengganggu liputan dan menjana keuntungan melalui siaran langsung tidak rasmi.
“Perkara ini membahayakan keselamatan wartawan, menjejaskan laporan profesional, serta mengelirukan orang awam,” menurut kenyataan itu.
MMM mengingatkan bahawa kanak-kanak tidak boleh dijadikan bahan liputan sensasi, soal siasat melampau, atau pendedahan yang boleh membawa trauma dan bahaya tambahan. Dalam kes buli serta inkues membabitkan individu bawah umur, aspek perlindungan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) mesti diberi keutamaan.
Kenyataan itu turut menggesa editor dan wartawan supaya mematuhi kod etika kewartawanan dan prinsip perlindungan kanak-kanak, termasuk tidak menyiarkan butiran yang boleh mengenal pasti atau memberi stigma kepada mangsa serta keluarga.
“Laporan yang bertanggungjawab harus menekankan aspek keadilan dan kepentingan awam, bukan eksploitasi atau keuntungan.”
MMM dalam pada itu menyeru semua media agar berlapang dada, berdisiplin dan profesional dalam melaporkan kes ini, sambil menegaskan bahawa kewartawanan beretika adalah satu-satunya jalan untuk melindungi golongan rentan serta menjaga integriti profesion kewartawanan.