Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memohon agar pendakwaan terhadap lima remaja terbabit ditangguhkan.
Ini bagi membolehkan siasatan lanjut yang menjurus kepada peruntukan hukuman yang lebih berat, sekali gus mengelakkan berlakunya “double jeopardy” (perbicaraan berulang).
Peguam Hamid Ismail yang mengetuai pasukan guaman itu berkata, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara pagi ini memohon agar pertuduhan tersebut ditangguhkan buat sementara waktu.
Pasukan guaman menegaskan, mereka khuatir jika pendakwaan dibuat bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, proses keadilan tidak akan tercapai sepenuhnya sekiranya kemudian timbul bukti kukuh bagi pertuduhan lebih berat.
“Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah, apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Kesalahan atau kesalahan yang lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar “double jeopardy” yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama, hari ini.
Selain Hamid, pasukan guaman juga terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Menurut pasukan guaman, mereka mengetahui melalui laporan berita bahawa kelima-lima remaja berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan berhubung kesalahan membuli.
“Kami memohon agar Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja tersebut dituduh di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan. Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika.
“Namun sekiranya keterangan yang ada sekarang dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa semua remaja di atas bagi kesalahan yang lebih berat dari seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami merayu agar mereka didakwa bagi kesalahan yang lebih berat itu.”
Terdahulu media melaporkan bahawa lima individu bawah umur akan didakwa di Mahkamah di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.