PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan perkataan ‘menghina’ (offensive) dan ‘menjengkelkan’ (annoy) dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) berkaitan kesalahan penghantaran komen dalam talian.
Keputusan sebulat suara itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan aktivis Heidy Quah Gaik Li, yang sebelum ini memfailkan saman untuk mencabar peruntukan Seksyen 233 sebelum pindaan.
Dalam Keputusan mahkamah, panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng mendapati kedua-dua perkataan itu adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 10 (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan) dan Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah.
Panel hakim juga menegaskan bahawa perkataan tersebut tiada kaitan langsung dengan isu ketenteraman awam.
Seksyen 233(1)(a) sebelum pindaan memperuntukkan kesalahan bagi seseorang membuat atau memulakan penghantaran komen dalam talian yang bersifat “lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menghina” dengan “niat untuk menjengkelkan, menyalah guna, mengugut atau mengganggu orang lain.”
Mengikut pindaan yang berkuat kuasa Februari tahun ini, perkataan “offensive” telah digantikan dengan “grossly offensive” (sangat menghina).
Pada 27 Julai 2021, Quah, pengasas NGO Refuge for the Refugees, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan berkongsi kandungan menghina di Facebook mengenai layanan buruk terhadap pelarian di pusat tahanan imigresen.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) AKM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) dengan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM1,000 sehari jika kesalahan berterusan selepas sabitan.
Pada 25 April 2022, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan (DNAA) Quah, sebelum beliau memohon dilepas dan dibebaskan sepenuhnya.
Permohonan itu ditolak Mahkamah Tinggi pada 12 September 2023, lalu Quah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Mengulas keputusan hari ini, Quah berkata ia membawa makna besar kepada demokrasi di Malaysia.
“Sudah lama masyarakat sivil hidup dalam ketakutan, bimbang ditangkap atau didakwa kerana bersuara.
Keputusan ini membolehkan rakyat bersuara menentang ketidakadilan, termasuk isu pusat tahanan, tanpa perlu menghukum pemberi maklumat,” katanya.
Peguamnya, New Sin Yew, berkata keputusan itu membuktikan hujah anak guamnya dan masyarakat sivil bahawa kedua-dua perkataan tersebut bermasalah serta bercanggah dengan hak kebebasan bersuara.
“Ini keputusan yang baik, malah seperti sambutan awal Hari Merdeka bagi kita semua,” katanya, menyifatkan ia sebagai langkah progresif.
New juga berkata, walaupun kerajaan telah meminda Seksyen 233 dengan menggantikan “offensive” kepada “grossly offensive”, ia masih bermasalah. “Offensive” lebih longgar berbanding “grossly offensive”, tetapi itu tidak bermaksud istilah baharu itu tidak bermasalah,” katanya.
Seksyen 233 kini juga mempunyai hukuman yang lebih berat bagi membuat kenyataan sedemikian secara dalam talian, termasuk meningkatkan hukuman asal (denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya) kepada hukuman yang lebih tinggi (denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya).
Heidy Quah diwakili peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, A Surendra Ananth, New Sin Yew dan Nur Izni Syazwani.
Kerajaan pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Komunikasi, Farhati Ahmad Tajuddin dan Nordalina Ali.