Oleh Sitti Nor Azizah Talata
LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki di Kampung Sarip, Lahad Datu pada Ahad lalu bagi membantu siasatan kes dakwaan cabul melibatkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 10.40 malam susulan laporan polis dibuat oleh mangsa pada 14 Ogos lalu.
“Mangsa yang juga pelajar tingkatan empat mendakwa dicabul oleh bapa saudaranya, iaitu adik kandung ibunya, sejak tahun 2019 ketika berumur 10 tahun. Kejadian dikatakan berlaku di perumahan pekerja Ladang Sebrang, Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, mangsa tampil membuat laporan selepas bertemu semula dengan suspek pada Mei lalu ketika menghadiri kenduri perkahwinan saudara di Kampung Silam, yang menyebabkan mangsa trauma dan teringat kembali kejadian lampau.
Siasatan awal mendapati mangsa mendakwa suspek pernah melakukan perbuatan terkutuk itu dan mengugut mangsa supaya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa.
“Mangsa kini dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut termasuk pemeriksaan psikologi. Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Dzulbaharin berkata, suspek kini ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bagi membantu manakala kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.