HomeUtamaIndividu Menyamar Pakar Patologi Ditahan, Dirakam Keterangan – SKMM

Individu Menyamar Pakar Patologi Ditahan, Dirakam Keterangan – SKMM

Read Time:1 Minute, 7 Second

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya mengenal pasti individu yang menyamar sebagai pakar patologi menerusi akaun TikTok “Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar” yang mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM berkata suspek berusia lingkungan 30-an itu dikesan di kawasan Kota Damansara lewat malam semalam hasil maklumat daripada rakaman keterangan dua individu yang turut berada bersama dalam sesi siaran langsung TikTok akaun berkenaan.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk proses rakaman keterangan. Peralatan komunikasi miliknya turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut. Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah mengesahkan bahawa suspek bukan seorang pakar patologi,” kata kenyataan itu.

SKMM menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu, khususnya melibatkan isu sensitif berkaitan kematian, tragedi atau mangsa nahas, adalah satu kesalahan serius yang boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.

Menurut SKMM, kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyiasat kes ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta 588.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular