HomeUtama15 ditahan dalam OP Bersepadu Khazanah di Sabah - PGA

15 ditahan dalam OP Bersepadu Khazanah di Sabah – PGA

Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Seramai 15 individu ditahan dalam Op Bersepadu Khazanah (Op Manok) yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah pada 14 Ogos lalu selepas serbuan serentak di 12 lokasi sekitar Kudat, Keningau, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.

Komander Briged Sabah PGA, SAC Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi bersepadu itu melibatkan pasukan risikan dari Ibu Pejabat Briged Sabah, Batalion (BN) 14 PGA Tawau, BN 15 PGA Sandakan, BN 16 PGA Kota Kinabalu, BN 17 PGA Lahad Datu, BN 21 PGA Keningau dan BN 22 PGA Kunak.

“Serbuan terbesar dijalankan Task Force Risik Batalion 17 PGA di dua lokasi berasingan sekitar Lahad Datu dengan jumlah rampasan bernilai RM795,775. Dua lelaki tempatan turut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan Sabah 2015,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa individu lain turut ditahan di Kudat, Keningau, Sandakan dan Tawau atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan Sabah 2015, Seksyen 5(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Jadual Dua Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 serta Seksyen 13(1) Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975.

“Kesemua serbuan ini berjaya membendung aktiviti pembiakan dan penjualan baka ayam yang dipercayai digunakan dalam perjudian sabung ayam. Operasi turut mengesan ladang ternakan yang beroperasi tanpa lesen sah,” katanya.

Daripada 15 individu ditahan, 11 adalah lelaki tempatan, dua wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga Filipina. Jumlah keseluruhan nilai rampasan mencecah RM3,046,910.80.

Abdul Rani turut menasihatkan masyarakat agar mendapatkan permit sah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah sebelum menjalankan sebarang aktiviti penternakan ayam bagi mengelakkan salah laku dan penyeludupan, khususnya melibatkan ayam sabung.

“Polis melalui PGA akan terus melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara serta ketenteraman awam secara profesional demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah cadang beri pendidikan percuma untuk pelajar lanjut ke IPT milik...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular