Oleh J. Evachel John
Kota Kinabalu: Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menegaskan bahawa perhimpunan solidariti JusticeForZara bukanlah tempat untuk berpolitik oleh mana-mana pihak.
Peguam Hamid Ismail berkata, program solidariti tersebut hanya bertujuan menuntut keadilan buat Zara.
“Jika ada yang ingin berpolitik janganlah suruh datang. Soladiriti ini adalah untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik.
“Tolonglah penganjur menolak individu yang ingin menyampaikan ucapan berunsur politik.
“Tidak bagus. Kita semua untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik,” katanya ditemui pemberita selepas sebutan inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.
Hamid dan pasukan guaman menyatakan sokongan penuh terhadap perhimpunan solidariti tersebut. Namun, mereka menasihatkan agar semua yang hadir mematuhi undang-undang serta menjaga kebersihan lokasi perhimpunan.
Selain itu, Hamid turut memberi peringatan tegas kepada pempengaruh media sosial, supaya tidak menakut-nakutkan saksi atau menyebarkan cerita palsu berkaitan kes kematian Zara.
Menurutnya, terdapat saksi terutama pelajar yang enggan tampil kerana bimbang dengan ugutan netizen di media sosial.
“Saya menggalakkan orang ramai tampil kepada polis atau secara terus dengan saya. Kepada pempengaruh (influencers) jangan menakut-nakutkan saksi.
“Kita mahukan keadilan. Dalam mencari keadilan, jangan sampai kita memfitnah atau mengugut orang lain,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata ibu arwah Zara berbesar hati dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Ibu Zara sangat gembira apabila Perdana Menteri Malaysia mengatakan yang dia memberi jaminan tidak ada orang yang akan terlepas daripada tindakan dan dakwaan pihak berkuasa.
“Saya bercakap dengannya semalam tentang isu ini dan dia sangat gembira dan dia memohon kepada semua saksi yang ada jangan takut terutamanya para pelajar.
“Jangan takut tampilkan diri, alau takut kepada polis, jumpa kami (peguam),” katanya.
Mahkamah Koroner, di sini, menetapkan pendengaran inkues kematian Zara bermula 3 September depan bagi mengenal pasti punca kematiannya.
Inkues itu turut bertujuan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terlibat dalam kematian Zara. – Chronivo