HomeUtamaIbu Zara antara saksi yang akan dipanggil – Peguam

Ibu Zara antara saksi yang akan dipanggil – Peguam

Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh J. Evachel John

Kota Kinabalu: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat antara saksi yang akan dipanggil pada prosiding inkues kematian Zara.

Perkara itu didedahkan dalam sidang media oleh peguam Hamid Ismail apabila ditanya mengenai saksi-saksi yang akan dipanggil nanti.

“Ibunya akan datang sebagai saksi apabila dipanggil. Kami akan menyoal saksi-saksi sekiranya permohonan kami untuk menjadi ‘interested party’ (parti yang berkepentingan) dibenarkan.

“Buat masa ini status kami adalah ‘watching brief’ (peguam pemerhati) tetapi apabila permohonan diluluskan, status kami akan berubah kepada ‘interested party’,” katanya.

Hamid berkata pasukan guaman yang mewakili ibu Zara akan menfailkan permohonan untuk menjadi ‘interested party’ minggu ini. Permohonan itu juga termasuk meminta semua dokumen berkaitan inkues diserahkan kepada mereka.

“Kami akan menfailkan permohonan itu minggu ini dan ia akan didengar sebelum 3 September. Keputusan mengenai permohonan kami akan dibuat sebelum prosiding inkues bermula,” katanya kepada pemberita selepas selesai prosiding sebutan inkues di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

Menurut Hamid, mereka tidak mengetahui jumlah saksi yang akan dipanggil, namun semua individu yang dipanggil polis sebelum ini termasuk guru dan pelajar dari sekolah terbabit dijangka akan dipanggil semasa inkues itu.

“Semua yang pernah dipanggil oleh polis sebelum ini, daripada guru sehinggalah pelajar,” katanya.

Sementara itu, Hamid berkata ibu arwah Zara berbesar hati dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Ibu Zara sangat gembira apabila Perdana Menteri Malaysia mengatakan yang dia memberi jaminan tidak ada orang yang akan terlepas daripada tindakan dan dakwaan pihak berkuasa. 

“Saya bercakap dengannya semalam tentang isu ini dan dia sangat gembira dan dia memohon kepada semua saksi yang ada jangan takut terutamanya para pelajar,” katanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dari Jabatan Peguam Negara Putrajaya Mohd Fairus Johari memberitahu Mahkamah Koroner seramai 195 saksi disenaraikan pihaknya berhubung inkues itu.

Bagaimanapun, katanya jumlah yang dipanggil akan diteliti semula dan senarai baharu akan dimaklumkan kepada Mahkamah Koroner sebelum inkues bermula pada 3 September depan.

Mengulas lanjut, Hamid berkata terpulang kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menentukan jumlah saksi yang akan dipanggil sepanjang inkues itu nanti. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular