PUTRAJAYA : Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengumumkan keputusan untuk menuduh beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes buli membabitkan pelajar, Zara Qairina.
Dalam satu kenyataan, AGC memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendapati terdapat asas untuk mendakwa beberapa suspek berdasarkan keterangan yang diperoleh setakat ini.
“Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang sedang berjalan,” kata kenyataan itu.
AGC turut menegaskan bahawa keputusan menuduh suspek-suspek berhubung kesalahan buli tersebut tidak akan menjejaskan siasatan menyeluruh yang masih dijalankan oleh PDRM berkaitan kematian Zara Qairina.
“Ini termasuk prosiding inkues yang akan dijalankan di mahkamah bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” tambah kenyataan itu.
Zara Qairina sebelum ini dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu akibat kecederaan otak yang teruk, dan kes tersebut mendapat perhatian meluas masyarakat serta dibahaskan di Dewan Rakyat minggu ini.