CYBERJAYA,– Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) dan Kejuruteraan di Universiti Multimedia (MMU) hari ini, yang disifatkannya sebagai langkah penting negara menghadapi cabaran digital masa depan.
Beliau memuji inisiatif MMU yang mendahului langkah kerajaan memperkenalkan fakulti AI, seiring agenda transformasi digital Madani.
“Robot boleh menggapai di langit, tetapi jangan tinggalkan akar budaya dan nilai kita. Teknologi mesti bergerak bersama nilai insaniah,” katanya.
Anwar turut mengingatkan tentang laporan United Nations University dan McKinsey mengenai Gen AI Productivity Paradox, bahawa pelaburan besar dalam digitalisasi tidak menjamin produktiviti tanpa tata kelola yang baik.
“Kalau raise the ceiling tanpa raise the floor, jurang akan melebar. Dan kalau tambah pula rasuah, kronisme, penyalahgunaan kuasa, negara tidak akan ke mana,” tegasnya.
Menurut beliau, pendidikan dan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada nilai kemanusiaan, justeru mahasiswa digesa menolak budaya kebencian, buli, rasuah dan politik sempit.
“Jangan biarkan kelompok penghasut merosakkan negara. Universiti ini gedung ilmu, bukan gelanggang fitnah,” katanya.
Dalam sesi Temu Anwar bersama pelajar, beliau menegaskan kerajaan menjamin kebebasan bersuara di universiti, namun ia mesti digunakan dengan beradab.
“Kebebasan bukan untuk maki atau menghina, tetapi untuk menyatakan pandangan, menegur dan mengkritik dengan ikhlas,” katanya.