HomeUtamaAl Jam’iyatul Washliyah teruskan kesinambungan 52 tahun syiar Islam di Sabah

Al Jam’iyatul Washliyah teruskan kesinambungan 52 tahun syiar Islam di Sabah

Read Time:1 Minute, 55 Second

Kota Kinabalu: Organisasi kemasyarakatan Islam Indonesia, Al Jam’iyatul Washliyah meneruskan kesinambungan 52 tahun dakwah syiar Islam dengan meningkatkan kerjasama pendidikan universiti di Sabah.

Dipertua (Ketua Umum) merangkap Pengurus Besar Al Jam’iyatul Washliyah, Kiyai Dr. Masyhuril Khamis berkata, kerjasama tersebut termasuk pertukaran pensyarah dan pelajar yang kini dalam persiapan pihak Indonesia.

“Melalui pertukaran pelajar dan pensyarah ini, kami yakin hubungan dalam bidang pendidikan antara kedua-dua pihak dapat dipertingkatkan. Dari segi sains dan pendidikan, kedua-dua negara sama-sama baik, cuma belum dikolaborasikan sepenuhnya.

“Kerjasama ini amat penting khususnya dalam membangunkan generasi muda. Indonesia dan Malaysia, terutamanya Indonesia dan Sabah, adalah saudara yang tidak mungkin dipisahkan oleh sempadan negara. 

”Kita bersatu kerana akidah yang sama, berkongsi perjuangan yang sama demi risalah Nabi Muhammad SAW.

“Dengan kehadiran kami kali ini, insya-Allah hubungan ini akan dipertingkatkan kerana dua negara serumpun ini disatukan oleh ikatan pemikiran, persaudaraan dan zikrullah.

”Kami berharap kekuatan ini lahir daripada hubungan Indonesia dan Malaysia, khususnya Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Ahad.

Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh silaturahim antara Al Jam’iyatul Washliyah dengan Sabah selepas penghantaran 19 pendakwah Islam dari Indonesia ke negeri ini sekitar 1974 hingga 1975.

Sementara itu, generasi pertama pendakwah Al Jam’iyatul Washliyah ke Sabah, Datuk Jalidar Abd. Rahim berkata, mereka berkhidmat membangunkan Islam melalui dakwah dan pendidikan sejak 1974.

“Tidak terasa, masa sudah berlalu, daripada 19 orang yang dihantar dahulu, kini hanya empat orang yang masih hidup, itu pun sudah agak uzur.

“Sepanjang tempoh itu, banyak usaha pembangunan Islam telah dijalankan. Kehadiran kami dari Indonesia ketika itu amat dialu-alukan oleh Ketua Menteri Sabah pada masa tersebut, Tun Mustapha yang berharap kami dapat membantu menggerakkan Islamisasi di Sabah.

“Ketika itu umat Islam hanya sekitar 20 peratus, namun hari ini jumlahnya sudah mencecah 70 peratus hasil gerakan dakwah yang dijalankan,” ujarnya.

Pada tahun 1974, Tun Mustapha meminta bantuan mantan Perdana  Menteri Indonesia, Buya Muhammad Natsir  untuk mencari pendakwah berkelayakan yang mana tanggungjawab tersebut diamanahkan kepada ulama dan tokoh sasterawan Islam Indonesia, Dr. Hamka.

Proses pemilihan dijalankan di Universitas Islam Sumatera Utara (UISU) dengan 12 mata pelajaran sebagai ujian kelayakan dan turut diselia oleh Mufti Sabah ketika itu.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular