Kota Kinabalu: Wanita ASEAN disaran merangka kerangka kerja khusus beserta pelan tindakan tempoh 20 tahun bagi membangunkan ekosistem modal teroka (VC) lebih inklusif, inovatif, berdaya saing, dan berorientasikan manusia, selaras dengan Pelan Strategik VC ASEAN 2045.
Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata tahun 2025 menandakan titik pertengahan pelaksanaan Komuniti ASEAN 2025 dan permulaan ke arah pembentukan Visi Komuniti ASEAN 2045.

Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia mengangkat tema ‘Inklusiviti dan Sustainabiliti’ sebagai teras kepimpinannya.
“Kesepaduan wanita ASEAN adalah sumber kekuatan komuniti serata. Sejak penubuhan ASEAN lebih lima dekad yang lalu, wanita telah memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor termasuk bidang pendidikan, kesihatan, ekonomi digital, sehinggalah ke meja rundingan diplomatik.
“Namun kita juga harus akui bahawa cabaran seperti stereotaip, pedraki, diskriminasi, kekurangan akses kepada peluang dan ketidaksamaan gender masih wujud.
“Sesuatu perlu dilakukan demi memperkasakan wanita, terutama pewujudan sinergi antara wanita ASEAN,” katanya ketika berucap merasmikan ASEAN Women Conference On Best Practice (AWCOBP) 2025, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, dasar kerajaan sedia ada meletakkan wanita sebagai peneraju sektor strategik seperti Kecerdasan Buatan (AI), semikonduktor, tenaga boleh baharu, pelancongan berkualiti, ekonomi halal dan jingga.
“Inisiatif seperti digital upskilling, adaptasi teknologi hijau dan keusahawanan sosial akan terus menjadi pemangkin pembangunan wanita,” katanya.
Tambahnya, Dasar Wanita Negara 2025 hingga 2030 di bawah kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat telah menetapkan beberapa sasaran utama.

“Antaranya 60 peratus kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh, 1 juta usahawan wanita berdaftar, 30 peratus penglibatan wanita dalam membuat keputusan dan 10 peratus penglibatan wanita dalam pertahanan dan keselamatan.
“Wanita ASEAN telah menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi dan sosial dari desa ke bandar, dari industri kecil ke syarikat global.
“Menurut ASEAN Women’s Economic Summit 2025, wanita membetulkan hampir 50 peratus populasi rantau ini, namun penguasaan dalam jawatan pengurusan kanan masih sekitar 26 peratus dan kerusi parlimen hanya 22 peratus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan pada 31 Julai 2025 lalu turut menekankan strategi pemerkasaan wanita dan belia melalui latihan digital serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, keluarga dan masyarakat termasuk Wanita Bangkit yang membantu wanita untuk kembali aktif dalam ekonomi, MyKasih Capital, Pemberian Bantuan Model Perniagaan Kecil Milikan Wanita dan Program Penjanaan Pendapatan Wanita (WeJANA dan WeBridge) yang melatih wanita dengan kemahiran baru dan akses pasaran.
“Kerajaan komited dalam memastikan gabungan program ini dengan strategi RMK 13 akan memperkukuh penyertaan wanita di semua peringkat serta memastikan sokongan ini disalurkan secara sistematik bagi memastikan sasaran yang telah ditetapkan menjelang 2030 tercapai.
“Dengan tindakan kolektif, kita akan memastikan tiada wanita tertinggal dalam arus pembangunan. Dengan memperkasakan wanita, ASEAN menjadi rantau yang lebih saksama, berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.
Persidangan sehari anjuran Persatuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Bumiputera Sabah (IKSNITA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah itu menghimpunkan hampir 400 peserta dari pelbagai sektor ASEAN.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Isteri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Juliah Salag, manakala sesi penutup menampilkan forum bertajuk “Amalan Terbaik Wadah Pemberdayaan Wanita”.
Delegasi dari Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Singapura dan Malaysia turut berkongsi amalan terbaik dalam bidang keusahawanan, pendidikan, kepimpinan, pendigitalan dan kebudayaan, dengan tema persidangan “Together We Accelerate Action.”