HomePolitikHajiji mahu tiga DUN Parlimen Putatan milik GRS

Hajiji mahu tiga DUN Parlimen Putatan milik GRS

Read Time:1 Minute, 25 Second

Oleh Normimie Diun

PUTATAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan hasrat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menguasai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Putatan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Beliau berkata, kerjasama dan perpaduan antara rakyat di kawasan DUN Petagas, Tanjung Keramat dan Tanjung Aru penting bagi memastikan kemenangan calon GRS.

“Untuk anak-anak muda kita, kita beruntung di Putatan ini kerana ada seorang Timbalan Ketua Menteri dari Putatan dan wakil rakyat yang aktif membantu rakyat. Insya-Allah dalam pilihan raya kali ini GRS akan ambil alih ketiga-tiga kerusi ini.

“Yang penting perpaduan di antara kita. Orang Putatan, Petagas, Tanjung Keramat dan Tanjung Aru mesti bersatu hati, pastikan kerajaan yang baik ini untuk rakyat terus kita menangkan,” katanya ketika berucap selepas Program Pelancaran dan Penyerahan Geran Anak Muda di Dewan Sri Putatan, di sini, hari ini.

Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata keyakinan itu turut diperkukuhkan dengan sambutan hangat rakyat terhadap program-program kerajaan di beberapa daerah yang beliau kunjungi baru-baru ini.

“Kemarin saya ada di Beluran, Sandakan dan Kinabatangan, sambutan rakyat cukup hebat di tiap-tiap perjumpaan. Kalau ini menjadi cerminan dan petunjuk, Insya-Allah kerajaan kita sekarang ini akan terus dipilih rakyat.

“Walaupun kita menghadapi pelbagai cabaran dan gelombang besar, kita akan tetap mengharunginya dan menang dalam pilihan raya negeri,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang masih di bawah Barisan Nasional, Hajiji berkata laluan pemimpin itu tidak sukar.

“Apa sukar, tetap menang punya. Dia lagi ADUN, dia lagi Parlimen, menang punya,” katanya ketika ditemui media selepas program tersebut.

Mengenai status Shahelmey yang masih bersama BN, Hajiji hanya menjawab ringkas: “Biar dia ikut corak…”

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular