Kota Belud : Bulan Kebangsaan bukan sekadar acara rutin tahunan, sebaliknya ruang penting untuk rakyat mengimbas kembali erti kemerdekaan dan menanamkan nilai cintakan tanah air.
Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Wahab Sidek berkata, rakyat Sabah turut memperkukuh makna sambutan ini dengan meraikan Hari Sabah pada 31 Ogos, yang mula diwartakan secara rasmi sejak 2023.
“Bagi rakyat Sabah, Hari Sabah bukan hanya perayaan, tetapi peringatan penting bahawa negeri ini bukan sekadar pyumbang kepada sejarah negara, malah menjadi tunjang penting dalam perpaduan dan kemajuan Malaysia.

“Sambutan ini bukan sahaja meraikan kemerdekaan, tetapi juga mengenang jati diri dan peranan besar rakyat Sabah dalam membina negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Inspirasi MADANI (SIM) 2025 bagi mewakili Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan.
Program itu adalah anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak, di sini, pada Ahad.
Wahab turut mengingatkan masyarakat agar mengubah sikap sambil lewa terhadap semangat patriotik yang sering muncul hanya ketika bulan kebangsaan.
“Realitinya, setiap kali masuk bulan kebangsaan baru ramai yang sibuk mencari bendera. Malah ada juga segelintir masyarakat hanya mahu mengibarkan Jalur Gemilang jika diberi secara percuma.
“Kalau tidak dapat percuma, terus tidak kisah. Sikap sebegini perlu diubah,” katanya.
Beliau turut menyeru agar masyarakat lebih proaktif menzahirkan semangat patriotisme bukan sahaja dengan mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi juga melalui penghayatan nilai kemerdekaan dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, berkata menjaga negara adalah tanggungjawab bersama rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Tanggungjawab menjaga negara ini adalah rasa kenegaraan yang mesti kita pupuk. Pemimpin datang dan pergi, tetapi negara ini tetap sebuah negara berdaulat.
“Proses membina negara kita masih baharu, hanya sekitar enam dekad, jadi cita-cita ini mesti diteruskan. Jangan biarkan media sosial menentukan masa depan kita,” katanya.
Menurutnya, hidup bersama dalam kepelbagaian ini adalah kekuatan sebenar Malaysia.
“Kalau mahu belajar hidup dalam kepelbagaian, datanglah ke Sabah, di sini kita meraikan perbezaan dan menjaganya sebagai kekuatan,” katanya.
Beliau menambah, Perlembagaan Persekutuan menjadi bingkai pembentukan negara, manakala Rukun Negara pula berperanan sebagai ideologi yang mengikat bangsa.
“Perdana Menteri sekarang datang dengan inspirasi MADANI yang perlu kita hayati, kerana ia menuntut kita membina negara berasaskan nilai, dengan rakyat sebagai terasnya,” jelasnya.
Beliau berkata, pengisian yang dibawa termasuk pameran perkhidmatan kerajaan, Bicara Ikon Belia, program TVET dan kerjaya, pameran ekonomi hijau serta pertanian moden, pentas komuniti dan jualan produk tempatan.
“Program ini bertujuan memperkukuh kesedaran terhadap nilai Malaysia MADANI, memupuk semangat patriotisme dan tanggungjawab sosial serta menggalakkan penglibatan aktif belia dalam pembangunan komuniti setempat,” katanya.
Program ini turut disemarakkan dengan aktiviti Explore Race Belia, persembahan kebudayaan serta Kempen Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.