Tawau : Sabah Softwoods Berhad (SSB) terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan keluarga pekerja asing dengan membangunkan tiga lagi sekolah rendah bagi anak-anak pekerja Indonesia di ladang-ladang miliknya menjelang tahun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif SSB, Datuk Mohd. Daud Tampokong berkata, pembinaan tersebut akan melengkapkan keseluruhan sembilan buah Community Learning Centre (CLC) yang menggunakan sukatan pelajaran Indonesia.
“Ketika ini, terdapat 621 pelajar bersekolah di enam buah CLC yang beroperasi di ladang Kalum, Kapilit, Kumansi, Mawang, Bukit Tukok dan Banita.

“SSB telah membelanjakan RM3.6 juta bagi membina enam buah CLC ini. Apabila tiga lagi sekolah siap pada tahun hadapan, jumlah pelaburan mencecah RM5.4 juta,” katanya.
Menurut beliau, pembinaan fasiliti pendidikan ini menggunakan dana syarikat sepenuhnya bagi memastikan anak-anak pekerja tidak terpinggir daripada pendidikan asas.
Langkah ini, katanya, bukan sahaja memberi manfaat sosial, malah mengurangkan kadar penghijrahan pekerja ke syarikat lain sekali gus mengelakkan kerugian jangka panjang.
“SSB berhasrat menjadi peneraju dalam menyediakan fasiliti pendidikan untuk pekerja asing agar keluarga tidak khuatir tentang masa depan anak-anak mereka, dan kesejahteraan hidup ini akan memberi kesan positif kepada produktiviti syarikat,” katanya.
Pengelola CLC SSB, Agil Ridho Bima Anggara, berkata enam buah CLC tersebut kini dikendalikan oleh tiga guru bina dan 17 guru pamong, termasuk 16 guru Malaysia yang telah menerima latihan khas sukatan pendidikan Indonesia dengan kerjasama Konsulat Republik Indonesia di Tawau.
“Kami memastikan murid bawah 12 tahun mengikuti kurikulum Indonesia supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Indonesia atau sekolah Indonesia di Kota Kinabalu tanpa keciciran,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Arifin, membawa 20 pelajar UPM melaksanakan program khidmat komuniti Jiwa Putra di CLC Kalum, termasuk mengecat mural bertema Madani dan perpaduan Malaysia–Indonesia.
“Program Santuni Komuniti Madani Sabah @ Sabah Softwoods ini bertujuan mendidik pelajar UPM menghayati motto ‘Berilmu Berbakti’ dengan mengaplikasikan ilmu kepada masyarakat. Mereka sanggup mengorbankan cuti semester untuk datang ke Sabah, bukan sahaja melukis mural tetapi juga memberi motivasi kepada murid-murid di Sekolah Kebangsaan Brumas, Tawau,” katanya. – Chronivo / FOTO UPM