HomeUtamaRUU Pendidikan (Pindaan) 2025 kurangkan keciciran, buka peluang lebih luas

RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 kurangkan keciciran, buka peluang lebih luas

Read Time:1 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu : Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini menyaksikan satu perubahan penting dalam sistem pendidikan negara apabila pendidikan menengah diwajibkan secara sah buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 itu  bertujuan memperkukuh lagi dasar sedia ada yang selama ini hanya mewajibkan pendidikan rendah

Katanya, dengan kelulusan itu, ibu bapa atau penjaga kini diwajibkan memastikan anak mereka menyempurnakan sekurang-kurangnya sehingga Tingkatan Lima, atau yang setaraf dengannya.

“Ini satu berita gembira bagi negara. Pendidikan menengah yang diwajibkan akan mengurangkan kadar keciciran dan memberi peluang lebih luas untuk anak-anak dari golongan B40.

“Bagaimanapun, saya turut menyeru agar kerajaan mengadakan kempen kesedaran yang meluas dan menyediakan saluran rayuan bagi keluarga yang berdepan kesulitan luar jangka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis peluncuran gotong-royong madani peringkat negeri Sabah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya di sini pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Muddin Beting yang mewakili Pengarah JPNS Datuk Raisin Saidin.

Arif berkata, pindaan itu bukan sahaja menzahirkan hasrat negara untuk melahirkan rakyat yang berilmu dan berkemahiran, malah menjadi asas kukuh dalam usaha membina masyarakat yang lebih adil, inklusif dan maju.

“Namun, kejayaan pelaksanaan dasar ini sangat bergantung kepada kesediaan sistem sokongan, terutama dari aspek infrastruktur, tenaga pengajar, serta pendekatan pendidikan yang fleksibel dan holistik,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap, Arif berkata,  program gotong royong Madani itu merupakan satu inisiatif murni Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan memupuk nilai kerjasama, keprihatinan dan keterlibatan aktif ibu bapa serta komuniti dalam memelihara dan memajukan persekitaran sekolah.

Katanya, sebagai focal person daerah, beliau melihat program itu sebagai satu wahana penting untuk merapatkan hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa.

“Ia juga membuka ruang untuk PIBG melaksanakan peranan secara lebih efektif dan berimpak tinggi, seiring aspirasi pendidikan negara.

“Saya ingin menyeru semua pihak,  khususnya PIBG, guru-guru serta komuniti setempat agar terus memberi komitmen, menyumbang tenaga dan kepakaran demi memastikan kejayaan program ini di setiap sekolah dalam daerah masing-masing,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

RON95 diturunkan kepada RM1.99 di bawah program BUDI95

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular