Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Gelombang JusticeForZara tidak akan berlaku sekiranya kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dikendalikan mengikut prosedur undang-undang, kata pasukan guaman yang mewakili keluarganya.
Pasukan guaman berkata mereka menyokong siasatan dan memohon agar tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai polis terbabit sekiranya terbukti berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) siasatan.
“Gelombang JusticeForZara di seluruh Malaysia yang menuntut keadilan bagi Zara tidak akan berlaku jika langkah yang sepatutnya diambil oleh pegawai penyiasat mengikut prosedur undang-undang bagi kes kematian yang melibatkan keadaan yang meragukan setelah mendapat informasi tentang kematian Zara pada 17 Julai 2025,” menurut pasukan guaman dalam satu kenyataan bersama.
Pasukan guaman terdiri daripada Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Mereka merujuk kepada kenyataan yang dibuat semalam oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST).
Siasatan akan dibuat terhadap Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintenden (ASP) dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
Mereka disyaki melakukan ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes terhadap kes kematian Zara, iaitu anak kepada anak guam mereka, Noraidah Lamat.
“Kami menyokong siasatan tersebut.
“Kami berharap gelombang JusticeForZara menjadi peringatan kepada Polis Diraja Malaysia agar memastikan semua kes kematian yang melibatkan keadaan yang meragukan disiasat mengikut SOP siasatan dengan efektif dan telus bermula dari tarikh penerimaan laporan maklumat pertama,” kata mereka.
Selain itu, pasukan guaman berkata mereka masih menunggu tarikh permohonan inkues diadakan dari Jabatan Peguam Negara.
Zara, 13 tahun, ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya, pada 16 Julai dan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth di sini.
Jenazahnya telah digali semula untuk dibedah siasat.