KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, mengecam sekeras-kerasnya insiden buli yang tular di media sosial baru-baru ini.
Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan nilai masyarakat majmuk di Malaysia.
“Buli bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah memberi kesan trauma psikologi yang mendalam kepada mangsa. Masyarakat perlu bersatu menolak budaya ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Institut Pembangunan Sabah (IDS) di sini, kelmarin.
Azizah menegaskan budaya buli mesti dihentikan segera dan pelaku perlu dihadapkan ke muka pengadilan dengan hukuman setimpal sebagai mesej jelas bahawa buli tidak akan diterima di mana-mana peringkat.
Beliau turut menekankan keperluan perlindungan menyeluruh kepada mangsa, termasuk kaunseling, bimbingan emosi dan sokongan psikologi bagi memastikan mereka dapat pulih sepenuhnya.
Menurutnya, usaha membanteras buli memerlukan pendekatan holistik melalui kempen kesedaran berterusan, selain kerjasama sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan pihak media dalam mengubah persepsi serta tingkah laku masyarakat.