HomeUtama50,000 hadir himpunan ‘Justice for Zara’, desak henti budaya buli di sekolah

50,000 hadir himpunan ‘Justice for Zara’, desak henti budaya buli di sekolah

Read Time:1 Minute, 53 Second

Kota Kinabalu: Kira-kira 50,000 masyarakat  sekitar bandaraya Kota Kinabalu menyertai Perhimpunan Solidariti ‘Justice for Zara’ yang diadakan di Padang Merdeka, di sini, malam tadi.

Menyertai himpunan itu adalah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew yang hadir 

sebagai tanda sokongan dan rakyat prihatin yang membawa mesej ‘tidak kepada buli di sekolah’.

Christina berkata, himpunan itu adalah inisiatif bagi memperjuangkan pembaharuan institusi di sekolah berasrama demi menyelamatkan nyawa dengan melindungi kanak-kanak daripada buli.

“Kami menuntut keadilan untuk Zara Qairina Mahathir yang berusia 13 tahun secara sebulat suara. Satu nyawa yang penuh harapan telah terhenti secara misteri. Kematian tragisnya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Kita bersatu, tanpa mengira status sosial atau latar belakang agama, dengan satu suara untuk mangsa dan semua yang mungkin mengalami nasib sama di mana-mana sahaja di Malaysia.

“Malam ini, saya mengambil peluang untuk menggesa pihak berkuasa meningkatkan usaha memerangi budaya buli di sekolah. Cukup sudah. Kami menolak sepenuhnya budaya ini di Malaysia, khususnya di sekolah,” katanya.

Christina mengemukakan cadangan supaya langkah pencegahan (proaktif) diutamakan berbanding langkah selepas kejadian (reaktif) sebagai strategi berkesan membasmi buli di institusi pendidikan.

“Apa yang saya maksudkan dengan langkah proaktif ialah mengambil tindakan pencegahan untuk mengelakkan tragedi di asrama sekolah, seperti mengenal pasti risiko dan tanda-tanda buli serta mengambil tindakan sewajarnya sebelum masalah menjadi serius,” katanya.

Beliau juga menekankan keperluan mendesak untuk meninggalkan sebarang ‘pendekatan reaktif’ yang mana pihak berkuasa hanya bertindak selepas tragedi berlaku sehingga meragut nyawa yang tidak bersalah.

Susulan insiden yang berlaku, Christina menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu mengubah sistem atau budaya kerja mereka dengan mengamalkan ‘pendekatan pencegahan’ bagi membendung perbuatan buli atau aktiviti tidak bermoral yang membabitkan pelajar sekolah dari awal.

“Marilah kita semua, sama ada sebagai penggubal undang-undang, penguat kuasa, aktivis, pihak pengurusan sekolah, ibu bapa atau pendidik, memainkan peranan positif untuk memastikan persekitaran sekolah yang selamat untuk anak-anak kita setiap masa.

“Mungkin satu dasar proaktif mengenai perlindungan kanak-kanak boleh digubal bagi membolehkan guru dan warden asrama mengesan serta mencegah situasi berisiko tinggi sebelum ia menjadi tidak terkawal.

“Kita semua tidak mahu insiden mengerikan yang menimpa Zara berulang,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada ibu Zara, Noraidah Lamat, atas kehilangan anak yang amat memilukan itu. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular