Beluran : Sebanyak 180 geran tanah adat negeri (Native Title, NT) diserahkan kepada penduduk kampung di Mukim Kolapis, Pulau Klagan dan Sapi, melibatkan keluasan keseluruhan 297.830 hektar (735.937 ekar) di sini.
Majlis penyerahan geran itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis perasmian Pesta Labuk Beluran 2025 di Tapak Tamu FAMA, Pekan Beluran di sini pada Sabtu.
Hajiji berkata, pemberian geran tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat, khususnya di luar bandar, menikmati kesejahteraan dan jaminan hak milik tanah.
Dalam pada itu, Hajiji turut meminta Yayasan Sabah meneliti permohonan penduduk berkaitan tanah milik yayasan yang telah diduduki berpuluh tahun, agar dapat diberikan kepada penduduk sebagai rizab kampung.
“Mereka mahu tanah yang diduduki sekian lama, ada yang termasuk dalam kawasan Yayasan Sabah. Saya minta Yayasan Sabah meneliti perkara ini dan kalau boleh, kita bagi kepada orang kampung.
“Kita adalah kerajaan yang prihatin, ingin melihat hidup rakyat terjamin. Kedudukan mereka di kampung-kampung, sama ada di tanah kerajaan atau setinggan, perlu kita selesaikan,” katanya.
Beliau menegaskan, kedudukan penduduk yang sudah lama menetap di tanah kerajaan sebagai setinggan perlu difikirkan oleh kerajaan atau Yayasan Sabah dengan mengagihkan sebahagian tanah sebagai rizab kampung yang sah.- Chronivo