Kota Kinabalu : Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JKPA) mengambil langkah proaktif dengan menanggung subsidi yuran pesakit Autisme di Sabah sebanyak RM350 sebulan bagi setiap pesakit di Pusat Autisme Sabah (PAUS).
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) James Ratib berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa selain mencerminkan komitmen dan keikhlasan Kerajaan Negeri untuk mensejahterakan rakyat selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Yuran dikenakan setiap seorang pesakit berjumlah RM650, tetapi ibu bapa hanya perlu membayar RM300 sahaja kerana Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) menanggung subsidi RM350.

“Setiap anak-anak yang dimasukkan di sini yang berusia antara tiga hingga tujuh tahun, ibu bapa akan mendapat subsidi secara automatik lebih kurang RM350 selebihnya RM300 akan dibayar oleh ibu bapa itu bagi setiap bulan.
“Jika dibandingkan dengan pusat swasta, yuran disini jauh lebih rendah. Ada pusat swasta mengenakan caj RM1,300 sebulan malah mencecah RM2,700 jika pusat swasta tersebut mempunyai fasiliti yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pusat Autisme Sabah disini, pada Khamis.
James berkata, kerajaan negeri merancang untuk memperluaskan pusat seumpama itu di daerah lain dalam masa terdekat.
“Tiga pusat autism kita akan perluaskan di Sabah iaitu di daerah Tawau, Sandakan dan Kudat dan juga akan datang di Beaufort,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Sabah Maju Jaya Energy (SMJE) selaku peneraju tenaga Sabah dalam industri minyak dan gas untuk menyalurkan sumbangan kepada pusat-pusat autisme di negeri itu.
“Kita minta pelaksanaan tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), untuk menyumbang kepada pembangunan dan kelengkapan Pusat Autisme di negeri ini.
“Jadi saya mengucapkan juga terima kasih kepada Ketua Menteri kerana merestui pusat autisme ini dan seterusnya membantu dari segi kewangan.
“Kita minta juga kerajaan supaya dapat membantu lebih banyak peruntukan agar projek ataupun pembinaan pusat autisme di Sabah ini dapat berjalan dengan lancer,” katanya.
Dalam pada itu, James turut memuji inisiatif JPKA yang diketuai Jais Asri bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) membangunkan pusat autisme pertama di negeri ini, susulan peningkatan jumlah pesakit autisme daripada 4,700 orang pada 2023 kepada kira-kira 6,122 orang pada 2025.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada JPKA yang diketuai oleh Tuan Jais Asri kerana mempunyai inisiatif bersama dengan UMS untuk membangunkan pusat autisme di negeri Sabah yang mana pesakit autisme ini semakin hari semakin meningkat. Tahun 2023 lebih kurang 4,700 sahaja tahun 2025 meningkat ke 6,122 lebih kurang.
“Jadi, peningkatan ini amat orang bilang menggusarkan kita jadi sebab itu terlintas di fikiran saya bersama dengan JPKA dan UMS supaya dapat membina pusat Autisme.
“Saya juga mengharapkan supaya guru-guru yang ada sekarang ini lebih kurang 10 orang dibantu oleh empat orang dapat ditambah dan pihak UMS dapat membantu dari segi penambahan guru ini.
“Kita minta akan datang supaya guru-guru ini dapat dihantar ke Singapura untuk membuat rakan strategik bagaimana untuk menangani ataupun bagaimana mereka memperluaskan ilmu pengetahuan mereka dari segi mengurus anak-anak autisme ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyeru kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak autisme agar tidak malu untuk menghantar anak ke pusat Autisme tersebut.
“Saya mengharapkan kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak autisme ini supaya jangan malu dan jangan segan supaya anak-anak mereka dapat dihantar ke pusat autisme yang letaknya di Sembulan ini.
“Insya Allah tidak lama lagi pusat Autisme di Sandakan itu akan dibuka dan saya minta supaya ibu bapa yang mempunyai masalah autism di Sandakan dan di Tawau itu jangan malu, jangan segan hantar anak-anak mereka ke pusat asuhan anak-anak ini supaya apabila mereka masuk ke sekolah menengah masalah itu dapat dikurangkan dari segi pengendalian anak-anak autisme ini.
“Lebih baik kita rawat lebih awal anak-anak autisme ini jangan sampai mereka sudah dewasa baru kita ubat mereka ini akan mendapat satu masalah besar,” katanya.