HomeUtamaSeorang maut, dua selamat dalam insiden lemas di Perairan Sikuati

Seorang maut, dua selamat dalam insiden lemas di Perairan Sikuati

Read Time:1 Minute, 15 Second

KUDAT: Seorang lelaki maut manakala dua lagi terselamat selepas terlibat dalam insiden lemas di perairan Pantai Bangau, Sikuati, berhampiran kilang SBH Kibing Silicon Materials (M) Sdn Bhd, petang Khamis (14 Ogos).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata Pusat Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 petang semalam daripada seorang pekerja syarikat tersebut yang memaklumkan tiga pekerja kapal penarik pasir hanyut di laut.

“Menurut laporan, seorang mangsa terjatuh ke laut ketika melakukan kerja penyambungan tali sauh yang putus akibat laut bergelora.
Dua lagi rakan sekerja terjun ke laut untuk cuba menyelamatkannya.

“Mangsa berjaya dicapai menggunakan tali, namun keadaan ombak kuat menyebabkan ketiga-tiga mereka tidak dapat naik semula ke kapal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.10 petang dan menemui kesemua mangsa di tepi pantai sebelum membawa mereka ke darat.

“Namun pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang mangsa, Mohd Azman Idris, 31, telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua lagi mangsa, Muhammad Haseef Abdul Rahman, 29, dan Aidil Adman Said, 49, dilaporkan selamat dan menerima rawatan awal di lokasi,” katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan pada jam 6.43 petang selepas memastikan tiada risiko lain di kawasan kejadian.

Operasi menyelamat melibatkan 12 anggota BBP Kudat dengan kekuatan jentera FRT, EMRS dan pacuan empat roda, dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular